HARGA rumah yang semakin tinggi dan kadar asas pinjaman (BLR) yang berubah-ubah menyebabkan rakyat dibelenggu bebanan hutang.
Jika BLR turun, ia berita baik untuk peminjam. Sebaliknya, mengambil senario semasa, BLR dijangka terus meningkat, seiring jangkaan penganalisis ekonomi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Tambahan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, menyebabkan masih ramai lagi yang tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata peminjam pembiayaan perumahan terkesan dengan kenaikan BLR sejak tahun lalu iaitu seiring dengan kenaikan OPR sebanyak empat kali tahun lepas sehingga berada pada 2.75 peratus ketika ini.
Menurut mereka, aliran menaik BLR membebankan peminjam terutamanya yang mempunyai komitmen banyak dan beberapa pinjaman lain.

Seorang pekerja swasta, Wan Mohamed Wan Mustafa, 46, berkata, BLR berada pada aliran menaik sejak enam bulan lalu menyebabkan pembiayaan rumah setiap bulan naik kira-kira RM100.
Walaupun kenaikan hanya sekitar RM100, tetapi beliau terbeban kerana mempunyai komitmen lain seperti pinjaman motosikal, perbelanjaan rumah serta menanggung dua orang anak yang masih belajar.
“Sebelum ini, saya membayar pembiayaan rumah bulanan dalam RM1,200. Tetapi kini, jumlah tersebut meningkat sekitar RM1,300. Sejak enam bulan ini, kadarnya menaik dan kekal pada kadar sama tetapi tidak pula turun.
“Jika berterusan, ia memang memberi kesan kerana saya juga ada tanggungjawab yang lain,” katanya.
Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, harga rumah yang tinggi juga menyebabkan kebanyakan peminjam terpaksa menanggung hutang yang tinggi dan dalam jangka yang panjang.
“Ada anak saudara saya yang bekerja kerajaan tetapi masih tidak dapat membeli rumah di Lembah Kelang kerana harga yang tinggi. Kalau nak dapatkan rumah yang mampu milik perlu beli jauh seperti di Kuala Selangor, tetapi ia jauh pula dengan tempat kerja.
“Kerajaan juga boleh membantu golongan yang belum memiliki rumah dengan memberi pelepasan atau menanggung sebahagian kos harga rumah,” ujarnya.

Suri rumah, Nurin Awang, 37, berkata, harga rumah yang semakin tinggi disebabkan pihak pemaju lebih mementingkan pembinaan rumah lebih mahal untuk golongan elit berbanding rumah kos rendah.
Jelasnya, perkembangan tersebut menyebabkan tawaran rumah mampu milik semakin berkurang sehingga ramai golongan muda tidak mampu membeli rumah sendiri dan hanya menyewa sahaja.
“Kerajaan perlu memantau dan membuat garis panduan supaya ada penawaran rumah mampu milik kepada rakyat.
“Ini bagi mengelakkan pemaju mengambil kesempatan dengan trend untuk rumah yang mahal untuk golongan elit sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengurus projek, Ahmad Abas, 38, berkata, harga rumah yang tinggi memaksa pembeli membuat pinjaman dalam tempoh yang lama sehingga 30 tahun.
“Saya sudah memiliki rumah dan bebanan dirasai apabila kadar BLR dinaikkan oleh pihak bank sehingga menjadikan jumlah bayaran setiap bulan terus meningkat.
“Kerajaan boleh memantau dan mengawal harta rumah melalui beberapa kaedah seperti kawalan harga bahan pembinaan dan kawalan manipulasi harga dari pihak pemaju atau ejen hartanah.
“Ini termasuk menguatkuasakan akta seperti Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan agar pihak berkaitan tidak mengaut keuntungan yang melampau terhadap keperluan rakyat untuk memiliki rumah,” jelasnya.

Bagi pekerja kilang, Siti Nadia Omar, 36, pula, hasratnya memiliki rumah sendiri masih belum tercapai bukan sahaja disebabkan harga rumah terlalu tinggi (daripada kemampuannya) tetapi juga syarat yang ketat untuk mendapatkan pinjaman perumahan.
“Saya berharap pihak kerajaan dan industri dapat menurunkan harga rumah dan melonggarkan syarat pembelian rumah untuk pembeli B40.
“Ini bagi membolehkan golongan yang mempunyai gaji yang rendah juga mampu memiliki rumah sendiri,” tambahnya. – UTUSAN











