KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) bersama Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) secara rasminya menandatangani Perjanjian Kolektif (CA) Ke-19 selepas berunding selama dua tahun.
Setiausaha Agung NUBE J. Solomon berkata, CA ke-19 berkenaan berkuat kuasa bagi tempoh 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember tahun ini atau sehingga diperbaharui CA yang baharu.
Menurut Solomon, terdapat lebih 20 skim dan insentif, bukan kewangan dan kewangan telah dapat diselesaikan melalui rundingan di antara NUBE dan MCBA antaranya pelarasan gaji sehingga 18 peratus dan bayaran khas perayaan utama selama satu bulan.
Katanya, ia sekaligus memberi manfaat kepada pekerja terutamanya ahli-ahli NUBE di mana sebahagian besar merupakan peruntukan atau artikel terbaru, yang diadakan demi memartabatkan pekerja industri perbankan.
“NUBE dan MCBA telah bekerja keras bagi memastikan CA kali ini ditandatangani lebih awal dan sekurang-kurangnya ahli-ahli NUBE dapat merasai hasilnya sebelum berakhirnya Ramadan kali ini.
“Saya ingin ambil peluang ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli NUBE, barisan EXCO NUBE dan MCBA serta Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) kerana telah menyatakan komitmen yang amat tinggi bagi memuktamadkan CA dengan segera dan memuaskan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kolektif (CA) bagi tempoh 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2023 antara NUBE dan MCBA di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Solomon berkata, disebalik pelbagai cabaran yang dihadapi, pihak NUBE tetap konsisten, profesional dan mengamalkan pendekatan hormat-menghormati pihak majikan di dalam rundingan berkenaan.
Jelasnya, meskipun berlaku ketegangan dalam dua rundingan sebelum ini hingga terpaksa memohon campur tangan Pengerusi ABM, Datuk Khairussaleh Ramli, kedua-dua pihak akhirnya berjaya mencapai penyelesaian konstruktif bersama.
Minggu lalu media melaporkan kira-kira 17,000 kakitangan perkeranian bank perdagangan di Semenanjung Malaysia dijangka menerima kenaikan gaji apabila CA mereka dijangka tamat selepas 16 bulan membuat rundingan aktif.
Pekerja-pekerja itu juga bakal menerima tunggakan gaji di bawah perjanjian yang meliputi tempoh antara 2021 dan 2023. – UTUSAN










