PETALING JAYA: Nippon Paint Malaysia melalui segmen penyelesaian pembinaan dan salutan menyeluruh (TCCS) meletakkan sasaran untuk berkembang ke pasaran baharu seperti pengeluar peralatan asal (OEM), tenaga, infrastruktur, minyak dan gas.
Pengurus Besarnya, Tay Sze Tuck berkata, langkah itu sejajar dengan matlamat untuk mengukuhkan kedudukan pasaran, sejajar dengan sasaran tahunannya.
“Melalui kerjasama berterusan dan hubungan pasaran dengan pembina profesional, kami berhasrat untuk meluaskan lagi sudut pandangan pasaran, terutamanya dalam pasaran perumahan mampu milik melalui inisiatif TCCS.
“Sasaran kami ialah untuk membantu dalam pembinaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan TCCS yang akan mengurangkan kos projek, meningkatkan kualiti dan memendekkan masa untuk membina projek,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, menerusi segmen salutan, Nippon Paint telah menjadi pembekal aktif kepada projek pembinaan seperti pasaran perumahan mampu milik di bawah inisiatif Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Dengan adanya TCCS untuk memposisikan keupayaan Nippon Paint sebagai penyelesaian sehenti, kami menjangkakan bahawa syarikat akan dapat mencapai bahagian pasaran yang lebih tinggi selain meningkatkan pendapatannya sebanyak dua digit dan mengukuhkan kedudukan kami walaupun terdapat kejutan pasaran,” katanya.
Selain itu, TCCS telah mempercepatkan inisiatifnya dalam pembangunan perindustrian melalui penyelesaian lantai industri apabila syarikat itu memasuki pasaran untuk keperluan seperti gred makanan dan lantai pelepasan elektrostatik yang merupakan keperluan oleh kerajaan untuk makanan dan minuman, kilang, semikonduktor serta persekitaran perindustrian lain.
Tambah beliau, segmen perniagaan kepada pengguna (B2C) syarikat terus mendahului dengan sebagai sebahagian besar pendapatannya.
“Nippon Paint telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan bahagian pasarannya sebanyak dua digit dalam segmen B2C dan B2B menjelang akhir 2023,” katanya. – UTUSAN










