PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 10.3 peratus tahun ke tahun kepada RM145.2 bilion pada Februari 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Bagi tempoh dua bulan tahun ini, nilai jualan sektor pembuatan meningkat sebanyak 8.3 peratus kepada RM293.2 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu dengan bilangan pekerja bertambah 3.3 peratus kepada 2.35 juta orang.
Gaji dan upah pula meningkat 4.3 peratus kepada RM16.3 bilion, manakala nilai jualan setiap pekerja tumbuh 4.9 peratus berjumlah RM124,780.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, peningkatan disumbangkan oleh pertumbuhan kukuh dalam subsektor kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain sebanyak 14.3 peratus; produk makanan, minuman & tembakau (14.0 peratus) dan peralatan elektrik & elektronik (10.0 peratus).
“Namun begitu, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan terus menyusut selama tiga bulan berturut-turut untuk mencatatkan negatif 1.9 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, nilai jualan industri berorientasikan eksport yang menyumbang 71.1 peratus daripada jumlah jualan mencatatkan pengembangan yang memberangsangkan sebanyak 10.0 peratus berbanding 6.9 peratus Januari 2023.
Katanya, begitu juga industri berorientasikan domestik meningkat kepada 11.0 peratus berbanding 5.6 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
“Berbanding Januari, industri berorientasikan eksport kekal dalam trend menurun sejak Oktober 2022 dengan negatif 2.1 peratus manakala industri berorientasikan domestik susut 1.3 peratus pada Februari 2023,” jelas beliau.
Mohd. Uzir berkata, seramai 2.35 juta pekerja terlibat dalam sektor pembuatan pada Februari 2023, meningkat sebanyak 3.3 peratus daripada 2.28 juta orang tahun lalu.
Jelas beliau, bilangan pekerja yang terlibat dalam subsektor produk makanan, minuman; peralatan elektrik dan elektronik dan petroleum, kimia, getah dan plastik merangkumi separuh daripada jumlah keseluruhan dalam sektor pembuatan.
“Selaras dengan peningkatan bilangan pekerja, gaji & upah yang dibayar dalam sektor Pembuatan meningkat sebanyak 4.6 peratus tahun ke tahun yang berjumlah RM8.16 bilion pada Februari 2023. Berbanding dengan bulan sebelumnya, gaji & upah berkurang sedikit sebanyak 0.2 peratus daripada RM8.18 bilion.
“Tambahan lagi, purata gaji & upah bulanan bagi setiap pekerja mencatatkan peningkatan sebanyak 1.3 peratus berbanding setahun lalu dengan nilai RM3,474 manakala nilai jualan bagi setiap pekerja tumbuh sebanyak 6.8 peratus kepada RM61,796,” jelas beliau. – UTUSAN









