PETALING JAYA: Nestle (Malaysia) Berhad mencatatkan prestasi kukuh bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 dengan perolehan meningkat 8.8 peratus kepada RM1.84 bilion, disokong oleh jualan domestk dan eksport yang kukuh.
Bagi suku tahun yang dilaporkan, Kumpulan mencatatkan Untung Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM262.3 juta, dan Untung Selepas Cukai (PAT) berjumlah RM197.1 juta, lebih rendah sedikit berbanding keuntungan tinggi yang dicapai pada suku yang sama tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle, Juan Aranols berkata, perolehan lebih tinggi dipacu oleh jualan domestik dan eksport lebih tinggi, yang masing-masing melonjak sebanyak 10 peratus dan 4 peratus, berbanding kedudukan asas yang kukuh pada tahun sebelumnya.
Kata beliau, prestasi cemerlang dicatatkan oleh perniagaan F&B teras dan juga bahagian OOH di bawah Nestlé Professional, yang terus positif selepas pandemik.
“Walau bagaimanapun, Untung Selepas Cukai merosot 3.9 peratus disebabkan harga komoditi lebih tinggi dan kadar tukaran kurang baik, dengan pelbagai langkah mengurangkan kos dilaksanakan untuk meminimumkan kesan kepada pengguna dan melindungi margin,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, sejajar dengan misi syarikat, prestasi terus bertunjangkan usaha membekalkan produk yang bermutu tinggi, lazat dan berkhasiat yang memenuhi keperluan berbeza rakyat Malaysia.
Malah katanya, portfolio produk yang luas dan juga inovasi produk berterusan membantu syarikat memenuhi jangkaan pelanggan.
“Strategi tertumpu ini disokong oleh aktiviti keterlibatan pengguna yang berkesan, dan kecemerlangan pelaksanaan jualan meliputi semua saluran dan platform yang berkaitan, termasuk pengaktifan digital dan di lokasi,” katanya.

Menurut Aranols, Kumpulan telah memperkenalkan beberapa produk yang menarik pada suku tahun yang dilaporkan, yang mencerminkan tumpuannya terhadap inovasi produk.
Antaranya, termasuk Aiskrim Merah Jambu KIT KAT yang mencapai kejayaan besar sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina, selain daripada beberapa inovasi aiskrim lain.
“Kami terus memberi tumpuan untuk mencatatkan prestasi kewangan kukuh, sambil menggiatkan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kami. Antara inisiatif lain termasuk meluaskan program NESCAFÉ Disemai Dengan Kasih ke Kelantan, dengan matlamat membangunkan perladangan kopi tempatan.
“Menyentuh tentang keneutralan plastik pula, projek kutipan sisa dari pintu ke pintu akan terus dilanjutkan dan kami sudah mencapai hampir 140,000 isi rumah.
“Projek RELeaf juga sedang diteruskan, dan tidak lama lagi kami akan selesai menanam 3 juta pokok peringkat pertama di bawah program ini,” jelas beliau.
Di samping itu, kata beliau, syarikat terus menyokong masyarakat yang memerlukan menerusi pelbagai program seperti inisiatif Kembali ke Sekolah dengan kerjasama Empire Project, dengan menyumbang alat keperluan sekolah dan produk F&B bernilai hampir RM800,000 kepada 2,500 pelajar dan 1,200 isi rumah.
Mengenai prospek 2023, beliau berkata, ketidakstabilan global dijangka berterusan pada 2023.
Katanya, walaupun kadar inflasi utama sudah mula menyusut, tahapnya masih tinggi, dan keadaan semakin mencabar akibat ketidakpastian dalam harga komoditi dan kadar mata wang.
Malah katanya, gangguan pasaran kewangan baru-baru ini juga telah mendedahkan kelemahan global, dengan risiko penyusutan ekonomi global yang berupaya menjejaskan kedinamikan pasaran eksport syarikat.
“Namun begitu, walaupun harga komoditi makanan dijangka kekal tinggi sepanjang separuh pertama tahun, kami yakin situasi akan bertambah baik pada separuh kedua.
“Dalam jangka panjang, kami yakin terhadap prospek Malaysia, seperti yang terbukti daripada pelaburan modal RM1.0 bilion yang dirancang dan bakal dilakukan untuk tempoh 2023 – 2025,” katanya. – UTUSAN










