PETALING JAYA: MYAirline Sdn. Bhd., syarikat penerbangan tambang rendah terbaharu negara, menambah pesawat keenam dalam rangkaian penerbangannya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam produk dan perkhidmatannya.
Menurut kenyataannya, syarikat penerbangan itu merancang untuk memiliki sejumlah 20 pesawat menjelang akhir tahun untuk mengembangkan rangkaian laluan domestiknya dan memulakan penerbangan antarabangsa di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rayner Teo berkata, menambah pesawat merupakan keputusan strategik penting yang memerlukan perancangan dan pertimbangan teliti daripada pelbagai faktor seperti permintaan pasaran, daya maju kewangan dan kecekapan operasi.
“Proses untuk pesawat baharu memerlukan perancangan dan penyelarasan untuk memastikan pesawat itu memenuhi semua keperluan keselamatan dan prestasi. Paling penting, ia perlu disepadukan dengan lancar ke dalam operasi sedia ada
“Pesawat terbaharu ini juga menepati dasar syarikat dalam memenuhi matlamat kecekapan operasi dan prestasi tepat masa (OTP).
“Kami juga yakin untuk meningkatkan kecekapan operasi dengan menjadualkan lebih banyak frekuensi ke laluan sedia ada, kerana pesawat ketujuh kami dalam proses tidak lama lagi,” katanya.
Tambahnya, syarikat dalam proses merancang untuk memasukkan lebih banyak pesawat pada masa depan.
“Kami tidak sabar untuk mengambil kesempatan daripada peluang pertumbuhan dengan komitmen kami untuk pengembangan di rantau ini.
“Faktor ini membolehkan kami menguasai sebahagian daripada permintaan yang semakin meningkat untuk perjalanan selepas Covid-19 dan mengembangkan pangkalan pelanggan kami di Asean,” jelasnya.
Rangkaian laluan penerbangan MYAirline meliputi Kuching, Kota Kinabalu, Langkawi, Kota Bharu, Penang, Sibu, Tawau dan Miri, dengan laluan ‘intracity’ Kota Kinabalu ke Tawau yang akan diperkenalkan tidak lama lagi. – UTUSAN










