LEBIH RM2.6 juta ubat rawatan kanser halal keluaran Duopharma Biotech Berhad, Lebreta 2.5mg berjaya dijual kepada hospital kerajaan dan swasta tahun lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM1.78 juta dijual kepada hospital kerajaan manakala bakinya RM831,978 dijual kepada hospital swasta.
Menurut Leonard Ariff, Lebreta menerima sambutan amat memberangsangkan terutamanya daripada hospital patuh syariah selain turut menjadi daya tarikan kepada pesakit dari luar negara.
“Setakat ini, sambutan terhadap produk ini memberangsangkan dari hospital patuh syariah memandangkan status halal dapat meningkatkan keyakinan mereka terhadap produk tersebut.
“Bagi doktor-doktor hospital swasta pula, mereka melihat produk ini dari segi kualiti dan juga harga yang ditawarkan.
“Pensijilan ubat onkologi halal juga merupakan satu tarikan kepada pesakit dari luar negara (medical tourism) seperti pesakit dari Indonesia, Brunei dan lain lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah beliau, di awal permulaan pengeluaran Lebreta, ubat berkenaan hanya dipasarkan di Malaysia melibatkan hospital kerajaan dan swasta.
Namun, disebabkan ia mendapat sambutan daripada pesakit dari luar negara yang menerima rawatan di negara ini, beberapa negara menunjukkan minat untuk memasarkan produk berkenaan.
“Pihak Duopharma Biotech baru-baru ini telah mendapat kelulusan untuk memasarkan produk ini di negara Brunei dan Singapura tetapi belum lagi dilancarkan di kedua-dua buah negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Leonard Ariff berkata, kejayaan Lebreta menerima pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menjadikan Duopharma Biotech sebagai syarikat farmaseutikal pertama yang menerima pensijilan halal bagi produk onkologi.
Katanya, Lebreta merupakan jenama produk Letrozole yang tergolong dalam kategori ubat yang dipanggil aromatase inhibitor di mana ia adalah hormone endocrine rawatan kanser payudara.
“Produk ini digunakan untuk merawat kanser payudara di kalangan wanita yang telah melalui menopause ataupun putus haid selain digunakan untuk mencegah tumor payudara merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain pada pesakit kanser payudara tahap lewat,” katanya.
Beliau berkata, ubat berkenaan dikeluarkannya di Fasiliti Highly Potent Active Pharmaceutical Ingredients (HAPI) berpusat di Shah Alam yang memainkan peranan penting untuk memerangi banyak penyakit.
Jelasnya, kejayaan menerima pensijilan halal bagi produk yang dikeluarkan di fasiliti HAPI ini juga adalah sejajar dengan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat yang menjadikan akses kepada ubat sebagai antara bidang tumpuan utama.
“Buat masa sekarang, kemampuan pengeluaran di HAPI adalah sebanyak 10 kelompok (batches) dalam sebulan dan setiap satu kelompok tersebut dapat menghasilkan sebanyak 50,000 tablet,” katanya. – UTUSAN










