PETALING JAYA: KSK Land Sdn. Bhd. menamatkan kontraknya dengan Grand Dynamic Builders Sdn Bhd (GDBSB), anak syarikat milik penuh GDB Holdings Berhad (GDB) sebagai kontraktor utama bagi pembangunan 8 Conlay.
Menurut kenyataannya, keputusan sukar untuk menamatkan kontrak antara Damai City Sdn. Bhd. (DCSB), anak syarikat milik penuh KSK Land dan GDBSB merupakan hasil kegagalan mencapai persetujuan dalam pelbagai pertikaian.
Katanya, pertikaian tersebut berkaitan dengan hal-hal tapak pembinaan sepanjang tempoh sembilan bulan lepas termasuk skop kerja, program pembinaan serta jadual bayaran ansuran yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Sepanjang proses perbincangan, GDBSB telah menambah syarat-syarat yang merangkumi pada beberapa siri tuntutan yang dikemukakan pada 4 April 2023.
“GDBSB telah meminta DCSB untuk menjalankan pembaharuan terhadap semua subkontraktor dinamakan (NSC) yang sedia ada dalam tempoh dua minggu dan menanggung semua liabiliti dan tanggungjawab untuk sebarang perkara yang timbul sebelum dan selepas penentuan NSC.
“Selanjutnya, GDBSB juga telah meminta untuk dikeluarkan daripada kerja-kerja pembina utama serta menuntut DCSB membayar kehilangan keuntungan yang timbul daripada perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, KSK Land berkata, meskipun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mencapai kata sepakat, namun syarat-syarat yang dikemukakan oleh GDBSB dilihat amat berat sebelah dan tidak munasabah.
“Justeru, mustahil bagi pihak KSK Land dan DCSB untuk memenuhinya.
“Semenjak itu, KSK Land telah berbincang dengan bakal kontraktor-kontraktor utama baharu, termasuk Conlay Construction Sdn. Bhd. yang secara rasmi telah menyerahkan tawaran kepada DCSB,” ujarnya.
Tambahnya, butiran lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat. – UTUSAN