KPT, SC bangunkan Program Graduan Pasaran Modal

KPT, SC bangunkan Program Graduan Pasaran Modal

AWANG Adek Hussin (dua, kiri) dan Ahmad Rizal Adnan bertukar dokumen kerjasama disaksikan oleh Mohamed Khaled Nordin (dua, kanan) di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memba­ngun Program Graduan Pasaran Modal (CMGP).

Program tersebut bertujuan meningkatkan ilmu dan kebolehpasaran seramai 9,000 gra­duan universiti awam dan swasta terutama bagi industri pasaran modal dalam tempoh tiga tahun.

Ia dibiayai melalui peruntukan sebanyak RM30 juta oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) iaitu sebuah dana yang diurus oleh industri pasaran modal sendiri.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, KPT amat mengalu-alukan usaha itu kerana ia adalah satu keperluan dalam menangani cabaran kebolehpasaran graduan.

“Sehingga hari ini banyak industri sudah tampil untuk be­kerjasama dengan pihak kementerian bagi memastikan graduan yang keluar menepati kehendak industri, sekaligus boleh mening­katkan kebolehpasaran mereka.

“Kini, buat kali pertama SC menawarkan kolaborasi ini dengan pihak kementerian untuk memastikan tenaga kerja dan modal insan mencukupi, pada tahap yang baik ataupun yang diharapkan oleh sektor itu dapat disediakan.

“Justeru, saya amat mengalu-alukan program dengan kerjasama SC buat kali pertama, untuk tempoh tiga tahun,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Ujarnya, program mempunyai garis panduan yang ditetapkan untuk memastikan graduan layak menyertainya.

Katanya, graduan bidang ekonomi, kewangan dan perniagaan amat dialu-alukan untuk melibatkan diri dalam program tersebut.

MoU ditandatangani oleh Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang turut menjalankan tugas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Ahmad Rizal Adnan serta disaksikan oleh Mohamed Khaled.

Sementara itu, Awang Adek berkata, program itu mengurangkan defisit tenaga mahir dalam pasaran modal, selain meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Terdapat ramai graduan mencari pekerjaan, pada masa yang sama terdapat kekurangan tenaga mahir yang teruk di pasaran. Seolah-olah tidak selaras bekalan dan permintaan. Justeru, kami berharap CMGP dapat dijadikan perantara antara graduan dan pasaran modal.

“Enam bulan sebelum graduan tamat pengajian mereka akan menjalani latihan menerusi program itu di mana mereka akan dibayar gaji dengan anggaran minimum sebanyak RM3,000 (bergantung kepada industri).

“Buat masa ini, kami merancang dalam masa tiga tahun untuk melibatkan 9,000 graduan, iaitu kira-kira 3,000 graduan setiap tahun,” katanya.

CMGP dijangka dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Aidilfitri. Ia terajui oleh SC dengan kerjasama KPT, Kementerian Kewangan, Bursa Malaysia dan wakil-wakil industri pasaran modal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN