Kerangka kerja ESG dilancar hujung tahun - MITI

Kerangka kerja ESG dilancar hujung tahun – MITI

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz melancarkan sistem Simpanan Tenaga Bateri di Bangi, semalam. Turut hadir, Pengerusi MIDA, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob (dua,kanan) dan Pengerusi Citaglobal Genetec, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (dua kiri).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan melancarkan kerangka kerja baharu di bawah industri alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) hujung tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, rangka kerja itu akan memberi tumpuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam membantu mereka dari segi kewangan dan pembinaan kapasiti untuk eksport.

Menurut Tengku Zafrul, pi­­haknya berharap dengan pelancaran rangka kerja baharu berke­naan akan membantu syarikat memahami bagaimana untuk beralih kepada tenaga tenaga boleh perbaharu (RE).

“Ketika ini banyak pasaran eksport kita meminta pengeksport mempunyai garis masa mematuhi ESG, terutamanya PKS dan jika produk mereka tidak patuh ESG, mereka tidak boleh memasarkannya ke pasaran ini.

“Disebabkan itu kita perlu menyediakan syarikat tempatan terutamanya PKS mematuhi keperluan ESG ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) untuk RE buatan Malaysia yang pertama di sini, hari ini.

Tengku Zafrul dalam ucapannya berkata, kehadiran BESS yang dibangunkan oleh Cita­global Genetec BESS Sdn. Bhd. (Citaglobal Genetec) mampu menjadi salah satu inisiatif utama di bawah Dasar Automotif Negara 2020.

Katanya, ia mampu menyokong pembangunan Pusat Kebolehoperasian Kenderaan Elektrik (EVIC) selain  mempertingkatkan integrasi grid pintar antara EV dan infrastruktur di Malaysia.

“Pembangunan ini akan menyokong kedua-dua industri huluan dan hiliran bagi melengkapkan bekalan permintaan guna semula bateri, penjanaan kuasa dan inisiatif pengurangan karbon.

“Perkembangan ini juga akan menyokong hala tuju Dasar Tenaga Negara 2022 – 2040, yang banyak bergantung pada penerimaan RE dan peralihan tenaga negara daripada pergantungan bahan api fosil,” katanya.

Ujar Tengku Zafrul, pada satu megawatt seunit, MYBESS merupakan kapasiti industri sedia, di samping berdaya maju untuk kediaman, perkhidmatan runcit seperti stesen mengecas kenderaan elektrik, industri mikro, perniagaan, pasar dan bekalan elektrik luar bandar.

“Semua usaha ini menyumbang ke arah usaha Malaysia untuk mencapai komitmen Sifar Karbon Bersih menjelang 2050, sambil menambah baik keseluruhan kualiti kehidupan dan akses kepada fasiliti serta kemudahan buat rakyat.

“Kita mesti memanfaatkan kelebihan yang kita ada untuk pasaran ini bagi memastikan penyelesaian MYBESS buatan Malaysia ini berada di dalam rantaian bekalan tenaga boleh diperbaharui global.

“Dengan berbuat demikian, MITI boleh membuka jalan kepada Citaglobal Genetec BESS dan banyak lagi syarikat Malaysia yang lain untuk membangunkan kelebihan awal dalam sektor tenaga boleh diperbaharui yang berkembang pesat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×