Buka restoran stik mewah di London

Buka restoran stik mewah di London

(DARI kanan) SYED Ashraf Syed Ali, Najib Hamid dan Izwan Zainuddin dalam sidang akhbar pelancaran ‘Meet Bros Steakhouse’ di Paddington, London di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Palace Butcher Resources Sdn. Bhd. dan Serai Group Sdn. Bhd. menjalin usahasama untuk membuka restoran Meet Bros Steakhouse di Paddington, London dengan pelaburan hampir RM4 juta dan akan dibuka pada 12 Mei ini.

Usaha sama dengan nisbah kepentingan 50:50 antara kedua-dua syarikat itu adalah di bawah rangkaian restoran terkenal mereka iaitu Me’nate Steak Hub dan Jibby & Co..

Pengarah Urusan Palace Butcher Resources Sdn. Bhd., Syed Ashraf Syed Ali berkata, mereka memilih London kerana mahu ‘menyentuh’ pasaran stik halal di sana.

Beliau berkata, di London tidak terlalu banyak restoran stik yang halal dan kehadiran Meet Bros Steakhouse adalah untuk menawarkan stik yang berkualiti tinggi dan disediakan mengikut standard halal yang betul.

“Restoran di London itu boleh menempatkan sekitar 160 orang tetapi untuk permulaan kami sasar 120 hingga 130 pelanggan sahaja.

“Pasaran sasaran kami adalah kira-kira 70,000 orang Malaysia yang tinggal di London, pasaran halal dan warga tempatan.

“Melangkah ke hadapan, kami merancang untuk membuka sebuah restoran setahun di luar negara. Kami juga merancang untuk mengembangkan rangkaian ke Eropah, Pakistan dan Vietnam di masa depan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Hasil kerjasama antarabangsa in turut mendapat sokongan kewangan dan pembangunan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, sejajar dengan transformasi baharu PUNB dengan tema, ‘Mencipta semula PUNB, ke arah Kemampanan’ (R-25), PUNB komited dalam pembangunan strategik usahawan Bumiputera dalam sektor peruncitan dan perdagangan pengedaran di dalam dan luar negara.

Menurutnya, PUNB telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi memperkasakan rakan usahawan di peringkat antarabangsa antaranya, misi perdagangan ke London dan Wales, United Kingdom; Lahore, Pakistan; Taipei, Taiwan dan Cape Town serta Johannesburg di Afrika Selatan.

“PUNB akan meneruskan usaha membantu Rakan Usahawan PUNB mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa pada masa hadapan berdasarkan peluang dan kesesuaian pasaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN