KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) meraikan 62 kanak-kanak berusia 7 hingga 17 tahun dari Rumah Bakti Dato’ Harun, Ampang, Selangor dengan membeli-belah sempena sambutan Hari Raya (Raya Seluhur Hati).
Pengerusi BPMB, Tan Sri Nazir Razak berkata, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu diadakan secara besar-besaran kali ini sempena sambutan Ulang Tahun Ke-50 BPMB dengan kerjasama Jakel Group.
“Ia juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan bank untuk menyokong komuniti sekeliling.
“Setiap kanak-kanak dibekalkan bajet RM220 untuk membeli-belah pakaian baharu di JAKEL Mall Kuala Lumpur.
“Kita harus sentiasa mengingati mereka yang kurang bernasib baik dan menghulurkan bantuan apabila boleh.
“Sempena bulan puasa dan musim perayaan ini, kami mengambil inisiatif untuk menyambut anak-anak yatim tersebut.
“Sebagai kanak-kanak mereka pasti teruja untuk menyambut Hari Raya. Dengan usaha ini, kami berharap ia memberi kegembiraan kepada anak-anak yatim tersebut untuk menyambut hari raya yang akan tiba tidak lama lagi sekali gus menjadikan perayaan mereka kali ini lebih diingati,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Kanak-kanak itu dilihat teruja memilih pakaian tradisional Baju Melayu, Baju Kurung dan aksesori tradisional lain.
Selepas membeli-belah, kanak-kanak itu dibawa ke Menara Bank Pembangunan untuk melakukan aktiviti berkaitan kelestarian yang menyeronokkan anjuran BPMB, sementara menunggu waktu berbuka puasa bersama-sama Lembaga Pengarah BPMB, barisan kepimpinan kanan BPMB dan jemputan lain.
Mock cheque berjumlah RM5,000.00 turut diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab kepada Pengurus Rumah Bakti Dato’ Harun, Zainun Sahlan.
Semua kanak-kanak itu turut menerima duit raya daripada BPMB. – UTUSAN










