AEON Credit sumbang RM1 juta

AEON Credit sumbang RM1 juta untuk Projek Bilik Darjah Pintar

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek (tengah) melancarkan majlis penyerahan sumbangan untuk Projek Bilik Darjah Pintar Yayasan AEON Malaysia di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AEON Credit Service (M) Berhad menyumbang RM1 juta untuk Projek Bilik Darjah Pintar (SCP) Yayasan AEON Malaysia (MAF) bagi menyediakan pendidikan berkua­liti melalui pemulihan dan pendigitalan pengalaman bilik darjah sedia ada di sekolah.

Projek dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM2 juta itu merupakan lanjutan daripada Yayasan ‘AEON Sayap Bagimu’ yang pertama kali dilancarkan pada September 2021, memberi manfaat kepada 4,150 pelajar menengah seluruh negara.

Pengarah Urusan AEON Cre­dit dan Naib Presiden II MAF, Daisuke Maeda berkata, projek itu mewakili komitmen tonggak sosial AEON Credit di bawah Pelan Hala Tuju Kelestarian tiga tahunnya untuk meningkatkan literasi digital di sekolah.

“Kami berterima kasih kepada Yayasan AEON Malaysia kerana memberi peluang untuk memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan yang lebih baik untuk pelajar di seluruh negara.

“Melalui SCP  pelajar akan mempunyai sokongan yang diperlukan untuk berjaya dalam pelajaran mereka melalui kemudahan bilik darjah pintar yang dilengkapi kemudahan audio-visual terkini dan infrastruktur yang sesuai untuk kaedah pembelajaran moden,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga kini, di bawah program ‘AEON Sayap Bagimu’, AEON Credit dan AEON CO. (M) Bhd. telah menaja RM2 juta bagi pembelian 4,150 unit Samsung Galaxy Tabs dengan sambungan internet Unifi Mobile dan kelas tuisyen dalam talian pada 2021, yang telah diedarkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang layak di seluruh Malaysia.

Projek ini akan dilaksanakan di 40 sekolah menengah dan rendah di 10 negeri seluruh negara, dan program penglibatan pada masa hadapan untuk menggalakkan literasi digital dalam kalangan pelajar dan komuniti mereka akan dimulakan dengan tujuan untuk mengurangkan jurang celik digital.

Tambah beliau, projek ini bukan sahaja membantu pelajar cemerlang di sekolah, malah ia juga memainkan peranan penting dalam menggalakkan pelajar meneruskan pendidikan mereka dengan mewujudkan persekitaran pembelajaran pintar yang menyeronokkan dan kondusif untuk mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×