PETALING JAYA: Bank Pembangunan Asia (ADB) meramalkan ekonomi Malaysia berkembang 4.7 peratus tahun ini, dan 4.9 peratus pada 2024.
ADB berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia melebihi jangkaan pada 2022, dirangsang oleh penggunaan domestik yang kukuh dan pemulihan dalam perkhidmatan, setelah pembukaan semula sempadan dan aktiviti ekonomi kembali normal.
Jelasnya, inflasi secara amnya kekal terkawal didorong oleh subsidi kerajaan dan kawalan harga.
“Pertumbuhan dijangka sederhana, dan inflasi berkurangan pada 2023 dan 2024, terutamanya disebabkan perubahan dalam persekitaran global.
“Malaysia harus menggalakkan dasar merangkumi jantina untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh,” katanya dalam Tinjauan Pembangunan Asia April 2023.
Menurut ADB, Malaysia mengekalkan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan apabila berkembang sebanyak 7 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2022 dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 8.7 peratus, berbanding 3.1 peratus pada 2021.
Katanya, pertumbuhan kukuh itu didorong terutamanya oleh penggunaan domestik yang kukuh, apabila pasaran kembali normal dan keadaan pasaran buruh bertambah baik.
Mengenai prospek ekonomi 2023, bank itu berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan bergantung kepada persekitaran luaran termasuk limpahan daripada pembukaan semula ekonomi China, sokongan dasar kerajaan dan perkembangan dalam industri elektronik.
“Kelembapan ekonomi global, inflasi berterusan dan kenaikan kadar yang berterusan oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), boleh mengurangkan prospek bagi tahun tersebut.
“Sebaliknya, kesan risiko penurunan boleh diatasi dengan pertumbuhan yang lebih kukuh di China, pemulihan dalam sektor pelancongan, dan sokongan kerajaan yang berterusan untuk meningkatkan penggunaan domestik serta inflasi yang rendah,” katanya. – UTUSAN










