PETALING JAYA: Kumpulan UMW Holdings Berhad mengekalkan momentum yang kukuh pada bulan Februari dengan jualan sebanyak 34,233 unit kenderaan, 44 peratus lebih tinggi daripada 23,853 unit yang didaftarkan pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Menurut kenyataan syarikat itu, prestasi yang kukuh disokong oleh kedua-dua UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua yang terus memenuhi tempahan tertunggak menggalakkan.
Katanya, jualan UMWT melonjak kepada 9,297 unit pada Februari, 45 peratus lebih tinggi daripada 6,432 unit yang dicatatkan pada bulan sama 2022 dan 37 peratus lebih tinggi daripada 6,786 unit yang didaftarkan pada Januari tahun ini.
“Bagi dua bulan pertama 2023, UMWT mencatatkan jualan sebanyak 16,083 unit, peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding 13,960 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun 2022.
“UMWT menjangka permintaan dan jualan dapat dikekalkan sepanjang tahun ini, disokong oleh pengenalan model baharu dan kemaskini,” katanya.
Sementara itu, Kumpulan berkata, pada 17 Februari lalu, UMWT telah melancarkan GR Supra, GR 86, GR Corolla, Corolla Cross GR Sport serta Hilux GR Sport.
Jelasnya, untuk mengukuhkan lagi kedudukannya di dalam pasaran, UMWT mula mengambil pesanan untuk Toyota Vios serba baharu bermula 24 Februari.
Dalam pada itu, Perodua mengekalkan peningkatan jualannya pada Februari sebanyak 24,936 unit, 43 peratus lebih tinggi daripada 17,421 unit yang didaftarkan pada Februari 2022 serta 16 peratus lebih tinggi daripada 21,449 unit yang didaftarkan pada Januari lalu.
“Bagi dua bulan pertama 2023, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 46,385 unit, peningkatan sebanyak 33 peratus berbanding 34,865 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun 2022.
“Dengan permintaan yang semakin baik, Perodua telah menetapkan sasaran jualan yang lebih tinggi iaitu sebanyak 314,000 unit untuk tahun 2023, 11 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
“Jualan yang lebih tinggi akan dipacu oleh Axia 2023 serba baharu yang dilancarkan pada 14 Februari lalu,” ujarnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, pihaknya berbesar hati dengan peningkatan jualan yang didaftarkan oleh kedua-dua UMWT dan Perodua pada Februari 2023.
“Kami positif bahawa industri automotif akan terus menunjukkan prestasi yang baik pada 2023 berdasarkan jualan dan tempahan yang menggalakkan.
“Kami berterima kasih kepada pelanggan kami atas sokongan berterusan mereka terhadap produk dan perkhidmatan kami,” jelasnya. – UTUSAN










