[Sidang DUN Melaka] Iktiraf M-WEZ, pacu pembangunan inklusif

[Sidang DUN Melaka] Iktiraf M-WEZ, pacu pembangunan inklusif

SULAIMAN Md. Ali (tengah) hadir pada hari kedua Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.

MELAKA: Usaha mengiktiraf projek Pembangunan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) sebagai projek nasional dan salah satu koridor ekonomi di negara ini adalah perlu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, ini kerana Melaka tidak termasuk dalam mana-mana wilayah koridor ekonomi sedia ada seperti Iskandar Malaysia, Greater Kuala Lumpur, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Jelas beliau, pengiktirafan M-WEZ sebagai sebuah projek nasional dan koridor ekonomi baharu adalah penting untuk mencapai pembangunan wilayah yang lebih seimbang dan inklusif.

“Melaka mempunyai kelebihannya tersendiri daripada segi tumpuan kehadiran pelancong saban tahun. Negeri ini juga telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan iaitu melebihi paras nasional pada 2021.

“Oleh itu, besarlah harapan saya agar ahli-ahli yang berhormat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen berganding bersama saya untuk memastikan perkara ini diluluskan kerajaan Persekutuan. Peranan yang dimainkan semua pihak akan membantu meletakkan Melaka dalam zon ekonomi yang penting pada masa depan,” katanya ketika membahaskan usul terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri pada Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Semalam, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dalam ucapan perasmian Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Melaka Ke-15 meminta kerajaan Persekutuan mengiktiraf M-WEZ sebagai projek nasional serta memohon peruntukan sewajarnya bagi meningkatkan pelaburan di zon ekonomi itu.

Tambah Sulaiman, Perbadanan M-WEZ tahun ini akan memberi tumpuan terhadap agenda pelaksanaan pembangunan zon ekonomi tersebut supaya dapat merealisasikan visinya menjadi sebuah koridor ekonomi bertaraf antarabangsa.

Katanya, antara strategi yang telah dirangka termasuk kajian pembangunan infrastruktur dan utiliti seperti jaringan jalan raya, perparitan, bekalan air, sistem pembentungan, pengurusan sisa pepejal, bekalan elektrik dan telekomunikasi. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN