Liga Super: Kecederaan Akhyar rumit persiapan Terengganu

Liga Super: Kecederaan Akhyar rumit persiapan Terengganu

Masalah kecederaan serta insiden menimpa Akhyar Rashid merumitkan persiapan Terengganu FC (TFC) menjelang kunjungan Perak bagi aksi pembuka tirai Liga Super 2024/25, malam ini. - IHSAN TFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Masalah kecederaan serta insiden menimpa Akhyar Rashid merumitkan persiapan Terengganu FC (TFC) menjelang kunjungan Perak bagi aksi pembuka tirai Liga Super 2024/25, malam ini.

Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner, berkata, sekurang-kurangnya tiga tonggak terpaksa diketepikan akibat kecederaan termasuk ayam tambatan, Ivan Mamut dan bek tengah, Matthew Steenvoorden.

Steinbruckner berkata, dua pemain import itu memerlukan minimum tiga sehingga empat minggu lagi untuk pulih manakala Akhyar pula diharap dapat kembali selepas menentang Perak.

Selain itu, katanya, kemampuan skuad The Bos Gaurus yang dibimbing Yusri Che Lah juga tidak boleh dipandang ringan oleh Sang Penyu meskipun memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Steenvoorden perlu melupakan hasrat membuat penampilan sulung bersama TFC setelah mengalami kecederaan lutut yang memerlukan pembedahan dan tempoh sebulan untuk kembali.

“Kami juga kehilangan sentuhan Mamut di bahagian serangan gara-gara kecederaan kaki dan dijangka hanya akan pulang dari rawatan di Croatia tiga sehingga empat minggu lagi.

“Perlawanan pembukaan sentiasa sukar apatah lagi Perak juga memperkemaskan barisan pemain namun saya tetap berharap TFC beraksi lebih baik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Steinbruckner bagaimanapun boleh menarik nafas lega apabila bek kanan, Azam Azmi Murad, sedia untuk diturunkan setelah tercedera ketika beraksi untuk Harimau Malaya, Mac lalu.

Selain itu, tonggak pertahanan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Safwan Mazlan dan Ubaidullah Samsul Fazili juga dijangka tersenarai dalam senarai 20 pemain bertemu Perak.

“Ketiadaan beberapa pemain utama hanya akan menyukarkan TFC tetapi dalam bola sepak, semua perlawanan adalah sukar. Jadi semua pemain harus membuktikan mereka layak berada dalam pasukan.

“Saya harap pemain-pemain menunjukkan persembahan lebih tersusun berbanding perlawanan pra-musim terakhir bertemu Kelantan Darul Naim (KDN) baru baru ini,” tambah Steinbruckner. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN