JOHOR BAHRU: Senai Airport City Sdn. Bhd. (SACSB), anak syarikat milik penuh MMC Corporation Bhd. menjangka memuktadkan pelupusan kira-kira 40.46 hektar tanah perindustriannya melalui pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM250 juta pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SACSB, Gan Seng Keong berkata, pihaknya kini dalam perbincangan dengan tiga syarikat antarabangsa iaitu dua dari Taiwan (termasuk sebuah yang disenaraikan di Nasdaq) dan syarikat Jerman.
Katanya, syarikat yang bakal melabur adalah daripada sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan dijangka mewujudkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan baharu.
“Senai Airport City memberi penekanan kepada ekosistem industri bersih dan berteknologi tinggi. Jadi, kebanyakan pelabur yang kami tarik juga mempunyai ekosistem yang sama serta mungkin menjadi rantaian bekalan kepada masing-masing.
“Syarikat yang akan melabur itu nanti terlibat dalam industri teknologi tinggi yang kebanyakannya beroperasi secara automasi. Oleh itu, buruh yang akan diambil adalah pekerja berkemahiran dan dijangka 90 peratus adalah pekerja tempatan,” katanya.
Beliau ditemui pada lawatan suai kenal media ke Senai Airport City di sini, kelmarin.
Sementara itu, beliau berkata, kelebihan Senai Airport City ialah penyediaan infrastruktur asas yang lengkap, ketersambungan dengan pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa serta lokasi strategik dalam ekosistem industri yang matang.
Dalam pada itu Gan berkata, pihaknya menyambut baik usaha Kerajaan Pusat untuk menaiktaraf Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ke Senai Utara (Senai-Desaru Expressway) kerana ia merupakan nadi utama ke pembangunan Senai Airport City dan pelabuhan.
“Pada waktu puncak harian ketika ini sudah terdapat banyak kesesakan bukan sahaja kepada penumpang awam tetapi juga kepada trafik komersial.
“Jadi, dengan menaik taraf dan melebarkan PLUS, ia akan membantu mengurangkan masalah logistik dari kawasan perindustrian Senai Airport City dan ke pelabuhan,” ujarnya.
Tambahnya, kerja naik taraf dijangka dimulakan pada pertengahan kedua 2023 dan siap hujung tahun. – UTUSAN










