PETALING JAYA: Peruntukan sebanyak RM20 juta kepada Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) dalam Belanjawan 2023 yang disalurkan di bawah program pembiayaan hutang teroka MDV dapat memenuhi keperluan pembiayaan syarikat pemula dan berasaskan teknologi di negara ini.
MDV dalam satu kenyataan berkata, peruntukan berkenaan juga bakal memperluaskan lagi program pembiayaan hutang teroka MDV, selaku peneraju bagi program pembiayaan seumpama itu di negara ini.
Katanya, ia juga akan memudahkan lagi usaha MDV menyediakan dana bagi program pembiayaan melalui pasaran swasta selain menyokong rangka pelan MySTIE yang didukung oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Program pembiayaan hutang teroka berperanan sebagai pelengkap kepada pembiayaan dana modal teroka dan pembiayaan peringkat awal yang lain seperti seed dan angel funding.
“Melalui pembiayaan ini, syarikat pemula teknologi dapat mengawal pencairan ekuiti dengan lebih baik, mempelbagaikan sumber modal syarikat dan berkembang dalam masa yang lebih singkat.
“Bagi sektor teknologi pula, akses kepada pembiayaan merupakan pemangkin utama bagi pembangunan syarikat-syarikat yang berpotensi tinggi di dalam sektor teknologi di samping membuka peluang pasaran dan industri baharu yang dapat menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan serta melonjakkan tahap pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri berkata, Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menawarkan manfaat kepada syarikat berasaskan teknologi melalui inisiatif bersasar.
Antaranya, merancakkan pasaran modal dan penyediaan peruntukan pembiayaan jaminan pembiayaan kewangan dan pelbagai insentif yang lain bagi membantu syarikat-syarikat tersebut untuk berhadapan dengan ekonomi dan persekitaran operasi yang mencabar ketika ini.
“Peranan strategik MDV di dalam pembiayaan sektor teknologi telah memberi ruang kepada MDV untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara yang lebih dinamik, inovatif dan mampan, selaras dengan hasrat dan objektif Belanjawan 2023.
“MDV telah berjaya membantu lebih 1,000 syarikat teknologi yang berinovasi dan berpotensi tinggi dengan agregat dana berjumlah RM4.1 bilion sejak mula ditubuhkan 20 tahun lalu.
“MDV kekal komited dan akan terus meningkatkan usaha bagi melonjakkan potensi kejayaan technopreneur tempatan demi kesejahteraan dan pembangunan negara yang berterusan,” katanya. – UTUSAN










