Mohd. Azrul cekal majukan Muaz Force - Utusan Malaysia

Mohd. Azrul cekal majukan Muaz Force

MOHD. Azrul Zakaria bersama anggota kawalan keselamatan yang dilengkapi senjata api.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYARIKAT perkhidmatan kawalan keselamatan terbesar di Terengganu, Muaz Force Sdn. Bhd. (Muaz Force) berhadapan pelbagai cabaran dan dugaan ketika mula bertatih dari peringkat bawah dalam perniagaan tersebut.

Pelbagai tugas gentir dan cabaran dihadapi dalam membangunkan syarikat itu yang ditubuh secara kecil-kecilan pada 2009 menjadi gah pada masa hadapan.

Anak muda yang merupakan seorang usahawan berwawasan tidak mudah mengaku kalah ketika berhadapan dengan  rintangan yang dihadapi dengan berbekalkan semangat yang kental.

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Mohd. Azrul Zakaria, 39, dia melihat perniagaan dalam perkhidmatan kawalan keselamatan mempunyai masa depan cerah kerana permintaan dalam perkhidmatan kawalan keselamatan sentiasa meningkat di negara ini.

“Saya juga melihat kemajuan dalam beberapa sektor seperti kewangan, korporat, industri dan  pembinaan bakal membuka peluang kepada syarikat kawalan keselamatan berkembang lebih maju,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu, baru-baru ini. 

Menurutnya, berbekalkan ilmu dan tunjuk ajar yang diberikan oleh bapanya, Datuk Seri Zakaria Abdul Razak, 64, yang juga mempunyai syarikat kawalan keselamatan, dia mengatur langkah dan tidak mahu berpaling ke belakang untuk mengejar kejayaan.

MOHD. Azrul Zakaria (duduk) bersama sebahagian kakitangan syarikat Muaz Force.

“Pada awalnya, Muaz Force hanya membekalkan seramai 50 orang pengawal keselamatan sahaja, namun pada masa ini, syarikat itu mempunyai seramai lebih 1,000 orang pengawal keselamatan.

“Pengawal keselamatan itu merangkumi pengawal keselamatan tanpa senjata, pengawal bersenjata dan pengawal peribadi. Kami kini mempunyai sebanyak 14 cawangan di seluruh Malaysia,” katanya.

Mohd. Azrul yang merupakan bekas Pengurus Operasi Perisai Bernas (M) Sdn. Bhd. memberitahu, antara perkhidmatan lain yang disediakan oleh Muaz Force adalah khidmat Cash-In-Transit (CIT), pasukan peronda, penyiasat persendirian, perkhidmatan kamera litar tertutup (CCTV), penggera keselamatan dan sistem automasi rumah.

Ujarnya, syarikatnya yang mendapat pengiktirafan Persijilan ISO 9001:2015 juga sentiasa memberi dan menambah mutu perkhidmatan kerana objektif utama memastikan harta benda dan diri berada dalam keadaan selamat.

MOHD. Azrul Zakaria merupakan seorang usahawan yang berjaya dalam perniagaan perkhidmatan kawalan keselamatan.

“Kami juga mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang bagi memastikan syarikat tetap unggul dan berdaya maju,” ujarnya.

Beliau yang memiliki kelulusan Sarjana Muda kejuruteraan awam dari Universiti Malaysia Pahang memberitahu, objektif penubuhan syarikat itu juga bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penganggur terutama dalam kalangan bekas anggota pasukan keselamatan.

Katanya, syarikat itu mengambil ramai kakitangannya dalam kalangan bekas askar dan polis kerana mereka mempunyai pengalaman dalam bidang kawalan keselamatan.

“Langkah yang diambil itu dapat membantu bekas askar dan polis mendapatkan peluang pekerjaan selepas bersara,” katanya.

Pada masa sama, beliau yang merupakan anak sulung daripada lima beradik menambah, Muaz Force juga menawarkan latihan kawalan keselamatan kepada syarikat-syarikat kawalan keselamatan yang ingin memberi latihan kepada kakitangan mereka.

Malah, katanya, syarikat itu juga memberi latihan menembak dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pengawal keselamatan.

“Latihan menembak itu juga terbuka kepada pihak individu lain berkelayakan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.