ISKANDAR PUTERI: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan membentangkan perancangan ekonomi negara yang memberi tumpuan terhadap lima industri utama, esok.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lima industri yang akan diberikan tumpuan itu ialah industri aeroangkasa, petrokimia, digital, farmaseutikal serta elektrik dan elektronik.
“Industri utama yang disebutkan ini akan diberi tumpuan supaya kita dapat menjana pelaburan yang lebih, seterusnya memberi impak terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Implikasi daripada tumpuan terhadap industri utama ini ialah daripada segi peluang pekerjaan dan pendapatan, memperluaskan ekosistem industri serta menggandakan nilai limpahan terhadap ekonomi,” katanya selepas mengadakan lawatan ke GKN Engine Systems Component Repair Sdn. Bhd., di sini hari ini.
Lawatan beliau bersama-sama pihak di bawah kementeriannya seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bertujuan mengukuhkan hubungan dengan pemain industri selain mengetahui cabaran dan isu yang dihadapi mereka.
Esok, Tengku Zafrul dijangka akan mengumumkan laporan prestasi pelaburan MIDA pada tahun lalu serta pelan perancangan dan sasaran terperinci pada tahun ini serta tahun mendatang.
Ditanya tentang jangkaan pakar bahawa ekonomi global akan mengalami kelembapan pertumbuhan menjelang separuh kedua tahun ini, Tengku Zafrul memberitahu, kerajaan perlu bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mempunyai perancangan ekonomi yang dinamik selain pelan jangka panjang yang utuh supaya tidak mudah terkesan.
Katanya, kerajaan juga perlu cepat untuk mengadaptasi dengan perkembangan ekonomi semasa supaya dapat memperoleh limpahan keuntungan daripadanya.
“Kita kena merancang secara menyeluruh, bukan untuk tempoh enam bulan akan datang tetapi perancangan yang kukuh dari segi pelaburan, membuka industri baharu dan ekosistem yang melibatkan tempoh antara 10 hingga 20 tahun.
“Sebelum ini, tidak ada yang menjangka ada Covid-19, krisis antara Ukraine dan Rusia dan sebagainya. Jadi, kita kena rancang untuk pelan jangka panjang dan dalam masa sama, perancangan itu harus dinamik dan berubah mengikut kesesuaian,” katanya. – UTUSAN