Minyak jatuh, dividen Petronas dijangka berkurang

Minyak jatuh, dividen Petronas dijangka berkurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bayaran dividen Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) kepada kerajaan pada tahun ini dijangka lebih rendah berbanding RM50 bilion pada tahun lalu berikutan penurunan harga minyak mentah ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penurunan harga minyak mentah adalah mengikut unjuran ekonomi global yang perlahan pada tahun ini.

Katanya, ini sejajar dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) dunia oleh Bank Dunia merosot kepada 1.7 peratus daripada 3.4 peratus pada 2022.

“Setelah mencatatkan keuntungan yang baik pada tahun lepas apabila harga minyak hampir mencecah AS$130 setong, syarikat-syarikat minyak dunia termasuk Petronas dijangka mendapat keuntungan yang lebih rendah pada 2023. 

“Namun, Petronas yang telah melaksanakan rasionalisasi kos operasinya sewaktu Covid-19 melanda dunia pada 2020 dan 2021 telah pun mempunyai struktur kos yang lebih mantap.

“Perlu diingat pada 2020, harga minyak mentah pernah jatuh sekitar AS$40 setong. Penyusunan semula kos operasi Petronas adalah antara penyumbang keuntungan tertinggi lebih RM100 billion pada tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebagai entiti syarikat milik kerajaan (GLC), Petronas mungkin telah membuat persediaan menghadapi penurunan harga minyak mentah tahun ini.

“Harga minyak mentah yang rendah bermaksud subsidi bahan api kerajaan berkurangan dan ini amat membantu mengurangkan perbelanjaan negara.

“Bagaimanapun, Belanjawan 2023 adalah berdasarkan kepada harga minyak AS$80 setong. Namun sumbangan Petronas kepada pendapatan kerajaan adalah 15 ke 20 peratus sahaja,” katanya.

Tambahnya, harga minyak RON95, diesel dan gas asli cecair (LNG) akan diturunkan sekiranya harga minyak turun sehingga AS$40 setong.

“Tapi tidak mungkin akan jatuh serendah itu dan mungkin bertahan pada sekitar harga AS$70 setong,” ujarnya.

Pada Jumaat, niaga hadapan minyak mentah Brent susut 48 sen, atau 0.6 peratus, kepada AS$75.43 setong menjelang 0039 GMT, manakala niaga hadapan minyak mentah WTI AS turun 52 sen, atau 0.7 peratus, kepada AS$69.44 setong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×