PETALING JAYA: DHL Express dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi ideal untuk pelaburan langsung asing (FDI).
Dalam kenyataannya bersamanya, DHL Express dan MIDA berkata, kerjasama itu bertujuan untuk mengukuhkan lagi sumbangan industri rantaian bekalan ke arah pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, perjanjian itu dibina atas perkongsian yang telah lama terjalin, memanfaatkan rangkaian global DHL Express dan kepakaran tempatan untuk menarik syarikat multinasional masuk dan berkembang di Malaysia.
Kedua-dua pihak bersedia untuk mempergiatkan usahasama memacu aliran masuk modal, infrastruktur dan pengetahuan bagi membangunkan sektor utama termasuk elektrik dan elektronik, farmaseutikal, ekonomi digital, aeroangkasa dan bahan kimia.
MOU tersebut ditandatangani oleh oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Promosi Pelaburan dan Fasilitasi MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja dan Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo.
Pengerusi MIDA, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, pihaknya yakin dengan perjanjian baharu tersebut, Malaysia akan terus bersinar sebagai destinasi pelaburan pilihan untuk pelabur global.
Katanya, pihak berkepentingannya juga boleh melihat kepada industri sasaran yang lebih fokus terutamanya dalam sektor utama seperti teknologi hijau, minyak dan tenaga, pembuatan, aeroangkasa, e-dagang, serta pusat pengedaran global dan serantau.
“Kami berharap perkongsian kukuh swasta dan awam ini akan membantu mengukuhkan keyakinan pelabur kami dan meluaskan peluang perniagaan.
“Pada asasnya, ini memastikan terdapat aliran berterusan aktiviti pelaburan berkualiti di negara ini selaras dengan Dasar Pelaburan Baharu negara,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sementara itu, Julian berkata, pertumbuhan DHL Express adalah saling berhubung dengan Malaysia sejak mula bertapak di sini 50 tahun lalu.
“MOU dengan MIDA mengesahkan hubungan kerjasama kami untuk memudahkan minat pelaburan yang semakin meningkat.
“Dengan kehadiran yang menjangkau 220 negara dan wilayah, DHL Express dilengkapi dengan baik untuk menyokong syarikat yang ingin mempelbagaikan rantaian bekalan mereka di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN










