Kekuatan sektor E&E negara tarik minat Tesla

Kekuatan sektor E&E negara tarik minat Tesla

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kemasukan Tesla ke Malaysia didorong oleh kekuatan sektor elektrik dan elektronik (E&E) di dalam negara, menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, sektor E&E adalah satu komponen yang kritikal terutamanya untuk kenderaan elektrik (EV).

“Sektor E&E bukanlah satu sektor yang baharu. Ia telah berada di dalam industri lebih 50 tahun.

“Salah satu pencapaian yang baik adalah kita berjaya menarik minat syarikat seperti Tesla kerana kita mempunyai ekosistem yang kukuh untuk menyokong pembuatan EV.

“Kami akan mengumumkan butiran lebih lanjut secara perlahan-lahan dari semasa ke sesama kerana kami masih sedang memuktamadkan perbincangan itu.

“Buat masa ini kami hanya mengumumkan kemasukan Tesla ke dalam Malaysia di mana mereka akan membawa masuk stesen caj, servis dan sebagainya di sini,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Siri Forum Automasi & Digital dan Anugerah Pembuatan SMART Malaysia.

Acara tersebut dianjurkan oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Bizsphere Sdn. Bhd., pentadbir Smart4Wrd iaitu platform kerjasama Ekosistem Industri 4.0.

Ia turut disokong oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini.

Forum itu diadakan dengan objektif mewujudkan kesedaran tentang pelbagai sokongan kerajaan yang disediakan untuk membantu pemain industri tempatan memulakan perjalanan perniagaan mereka ke arah automasi dan mengguna pakai Industri 4.0 dan teknologi digital.

Di samping itu, forum turut menjadi platform perkongsian pembelajaran untuk membantu syarikat Malaysia memanfaatkan potensi penggunaan Industri 4.0.

Penganjuran forum itu turut menjadi platform untuk mempromosikan bantuan kewangan yang disediakan oleh MIDF untuk syarikat tempatan yang bertujuan menggalakkan mereka melakukan automasi dan pemodenan dalam proses pembuatan, menaik taraf keupayaan dan kapasiti pengeluaran, meningkatkan produktiviti dan kecekapan serta menangani kesan liberalisasi pasaran global.

Kerajaan menerusi MITI juga telah memperuntukkan dana kepada MIDF untuk membantu syarikat tempatan dalam pelaksanaan automasi dan pendigitalan mereka melalui pelbagai dana dan geran.

Untuk 2023, MIDF menyasar meluluskan kira-kira RM700 juta untuk syarikat Malaysia dalam perjalanan automasi dan pendigitalan mereka serta pengembangan perniagaan melalui pelbagai dana pada kadar pembiayaan yang rendah dan juga geran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN