Inflasi mereda, OPR dijangka kekal - Utusan Malaysia

Inflasi mereda, OPR dijangka kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Khamis ini, berikutan kadar inflasi negara yang semakin mereda.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini kerana, keputusan meningkatkan OPR dibuat untuk menurunkan inflasi dan dilihat telah mencapai tujuannya.

“Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia pada Januari 2023 telah reda kepada 3.7 peratus berbanding 3.8 peratus pada Disember 2022.

“Justeru, dengan jangkaan inflasi akan kekal rendah, saya melihat tiada keperluan untuk meningkatkan OPR buat masa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus semasa mesyuarat pertama bagi 2022 pada 19 Januari lalu selepas menaikkan kadar sebanyak empat kali pada tahun lepas. 

MPC dijadual bermesyuarat sekali lagi pada 9 Mac ini untuk memutuskan sama ada mengekal atau menaikkan OPR.

Sementara itu, Pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Anuar Shah Bali Mahomed berkata, masih belum tiba masanya untuk BNM menaikkan OPR kerana ia akan memberi kesan kepada rakyat yang masih bergelut untuk kelangsungan hidup selepas pandemik.

Ujarnya, tahun lepas sahaja, OPR sudah dinaikkan sebanyak empat kali, dan jika ia meningkat lagi tahun ini, duit lebihan dalam tangan rakyat akan berkurangan.   

“Dalam pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan telah mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan individu M40 sebanyak dua peratus yang memberi lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300. 

“Jadi, apabila OPR meningkat, sebahagian lebihan pendapatan itu terpaksa digunakan untuk membayar pinjaman dengan bank pula. Rakyat tiada peluang untuk menggunakan duit lebihan itu untuk menampung keperluan harian yang semakin meningkat,” ujarnya.

Beliau menegaskan, sekiranya OPR tetap dinaikkan, kuasa membeli juga akan berkurangan dan ini secara tidak langsung akan turut menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masih dalam proses pemulihan.

“Pada pandangan saya, belum masanya OPR dinaikkan lagi kerana rata-rata rakyat masih sedang bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya