
MESKIPUN mempunyai latar belakang pendidikan kejuruteraan dan pernah menjawat jawatan jurutera reka bentuk teknologi, pemuda ini nekad menceburi bidang perniagaan berasaskan industri asas tani.
Rodzman Rozimi Radzi, 35, merupakan graduan kejuruteraan mekanikal Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di Melaka dalam pengkhususan Rekabentuk Produk dan Inovasi pada 2011.
Anak kedua daripada lima beradik itu kemudiannya menjawat jawatan sebagai jurutera di sebuah syarikat perkhidmatan kejuruteraan digital di Cyberjaya, Selangor.
Anak kelahiran Kuala Perlis itu juga pernah mengurus sebuah koperasi yang dibuka bagi membantu memasarkan produk keluaran usahawan desa di Pulau Pinang.
Sejak itu, timbul minat untuk menceburkan diri dalam perniagaan secara langsung selepas melihat kesungguhan ahli-ahli koperasi memasarkan produk mereka.
Menurut Rodzman Rozimi, dia menyertai program bimbingan usahawan menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera(TUBE 3.0) di bawah kelolaan SMECorp di Sintok, Kedah dan mendapat geran sebanyak RM15,000 untuk memulakan perniagaan pada 2016.
Katanya, dia mendaftar syarikat milikan tunggalnya, Northern Prime Resources pada 2018 dan menyertai Latihan Pembentukan Usahawan (LPU) anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membangunkan produk rempah ratus di bawah jenama Karipooley.
“Tujuan utama saya memilih produk berasaskan rempah-ratus untuk dipasarkan adalah kerana ingin menyediakan makanan yang bersih dan selamat kepada orang ramai.
“Selain minat mendalam dalam bidang perniagaan, ia tuntutan fardu kifayah untuk membantu menyediakan makanan yang lebih baik khusus kepada umat Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, menerusi jenama Karipooley, dia menghasilkan campuran pelbagai produk berasaskan rempah ratus seperti serbuk kari dan kurma.

Menurut Rodzman Rozimi, buat permulaan, dia hanya memasarkan produk keluaran syarikatnya kepada syarikat pengusaha katering selain menghantar ke kedai-kedai borong seluruh negeri Perlis.
Mengimbau sewaktu awal penubuhan syarikatnya, pemuda tersebut berkata, dia melakukan sendiri semua tugasan daripada operasi pengeluaran, pemasaran, pentadbiran dan sebagainya.
“Alhamdulillah, kini perniagaan bertambah baik dan saya mempunyai enam pekerja yang membantu menguruskan operasi yang bertapak dalam kawasan Kompleks Jabatan Pertanian Perlis di Bukit Temiang, Beseri.
“Buat masa ini, tepung kacang hijau adalah produk terbaharu dihasilkan syarikat dan mula mendapat tempat terutama melalui jualan secara online serta tempahan dari syarikat pengeluar kuih tradisional,” jelasnya.
Katanya, proses penghasilan tepung kacang hijau secara tradisional agak rumit, maka syarikat mengambil inisiatif memproses dan membekalkan tepung tersebut bagi memudahkan pengguna dengan kualiti lebih baik.
Menurut Ketua Dewan Muda, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Perlis itu, tepung selalunya digunakan untuk menghasilkan kuih batang buruk, koleh kacang, kuih bulan, tepung gomak dan lain-lain.
“Buat masa ini syarikat mampu memasarkan sehingga 1,000 kilogram (kg) tepung kacang hijau sebulan yang dibungkus saiz 1kg satu bungkusan.
“Permintaan biasanya meningkat menjelang Ramadan dan pada bulan puasa tahun ini saya menyasarkan pengeluaran sehingga 5 tan,” jelasnya.
Rodzman Rozimi berterima kasih kepada pelbagai agensi seperti Mardi, MARA, Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan lain-lain yang membantu serta membimbing perniagaannya.
Tambah Naib Pengerusi Persatuan Agropreneur Muda Perlis itu, dia berharap lebih ramai anak muda menceburi industri asas tani kerana bidang itu berpotensi tinggi dan kerajaan menyediakan banyak insentif serta bimbingan. – UTUSAN










