VOLVO C40 – Kenderaan masa depan, ditawarkan hari ini

VOLVO C40 – Kenderaan masa depan, ditawarkan hari ini

PENGARAH Urusan Volvo Malaysia, Charles Frump bersama Volvo C40. – UTUSAN/ANUAR NORICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

(BAHAGIAN 1)

 VOLVO telah pun melancarkan model hibrid iaitu kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik dan  bahan api petrol sekali gus dalam tempoh dua tahun yang lalu. Namun, Volvo mula memperkenalkan model elektrik sepenuhnya tahun lalu iaitu XC40 dan ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dalam pasaran tempatan. Malah, jualan di negara kita melebihi penjualan dari India.

Volvo yakin dengan usaha mereka menghasilkan kereta-kereta elektrik sepenuhnya serta menyasarkan  menjadi syarikat kereta elektrik sepenuhnya menjelang 2030, dan merancang 75 peratus daripada hasil penjualannya datang daripada rangkaian Recharge Pure Electric menjelang 2025. Malah, Volvo turut menjangkakan jualan kereta akan terus menerus dibuat secara dalam talian dan membolehkan pelanggan membuat pembelian dan membuat pembayaran dengan selamat.

Begitu pun, sejauh mana kebolehan dan prestasi sesebuah kenderaan elektrik mampu atau mungkin boleh mengatasi prestasi kereta-kereta konvensional yang dipacu oleh pembakaran bahan api? Teknologi yang walaupun agak ‘kuno’ kerana telah digunakan selama ratusan tahun, tetapi adakah peralihan itu pasti akan terjadi atau pun hanya satu gimik daripada pembuat-pembuat kenderaan dunia?

Satu faktor yang perlu anda ketahui ialah bahan bakar yang datangnya daripada minyak petrol adalah aset lombong yang pasti akan habis suatu hari nanti. Malah, pada waktu ini pun, harga pasaran minyak dunia semakin meningkat setiap hari akibat daripada kekurangan bekalan minyak mentah dunia.

Peralihan kepada kuasa elektrik dilihat sebagai jalan keluar yang masih lagi boleh memberikan nilai komersial kepada pengeluar kereta, pembekal tenaga dan sekali gus ia bakal memberikan satu industri yang sama, walau pun sedikit kelainan terhadap pemilihan punca kuasa kenderaan.

Timbul pula soalan-soalan daripada pasaran tempatan yang rata-rata masih belum mengetahui secara mendalam tentang penggunaan kereta elektrik ini. Infrastruktur (stesen pengecas kenderaan elektrik) masih lagi belum dapat dilihat secara menyeluruh dan lebih komersial, maka, Volvo ingin memastikan bahawa mereka mempunyai satu model yang pasti akan menarik perhatian daripada rupa bentuk fizikalnya, keupayaan dipandu sejauh (jika tidak lebih jauh) jarak yang boleh dilalui sebuah kenderaan konvensional (kuasa petrol), ketahanan bahagian-bahagian enjin/motor yang jauh lebih bagus daripada bahagian-bahagian enjin konvensional, serta sistem bantuan pemanduan dan pengendalian elektronik harus lebih baik daripada model-model yang telah berada di pasaran.

Penggunaan warna-warna yang menarik.

FIZIKAL

Volvo C40 secara umumnya adalah sebuah SUV (Sports Utility Vehicle – Kenderaan Utiliti Sukan). Namun dengan rekaan bumbungnya yang lebih menjunam pada bahagian belakang menjadikannya seolah-olah sebuah kenderaan sport atau coupe. Roda bersaiz 20 inci (sayang sekali, untuk pasaran tempatan, kita menerima kenderaan dengan roda saiz 19 inci), ternyata memenuhi ruang lengkungan wheel arch dan menjadikannya ia nampak lebih utuh.

Pada bahagian hadapan pula, C40 sudah tidak lagi menggunakan grill yang terdapat pada kebanyakan kereta-kereta lain. Volvo bertindak “menutup” bahagian tersebut dan sekali gus memberi satu kelainan daripada pandangan arah hadapan. Melengkapkan rekaan anggun C40 ini, penggunaan spoiler berkembar atau pengimbas aruhan angin turut menambahkan sifat ‘garang’ serta tampak sebuah kenderaan yang serius.

Lampu hadapan C40 turut mengekalkan imej “Thor’s Hammer” yang menggunakan lampu DRL (Day Running Lights – Lampu nyalaan berterusan) berbentuk huruf T dan melambangkan tukul kegunaan watak dewa Thor yang menjadi kepercayaan kaum Viking.

Buka pintu utama dan anda akan dihidang dengan kerusi-kerusi empuk dan tidak lagi melihat dibalut oleh kulit. Ia menampilkan pengayaan daripada fabrik-fabrik, malah ada bahagian daripada dinding pintunya menggunakan fabrik kitar semula. Kesemua pemilihan material, dan konsep rekaan dalaman ini bagi memperkuatkan iltizam Volvo untuk menghasilkan kenderaan yang bersepadanan dengan penjagaan alam sekitar termasuk haiwan-haiwan. Ia dilihat sebagai satu langkah bermewah tetapi bertanggung jawab terhadap alam.  Ia turut diperkuatkan lagi dengan rekaan pada bahagian dashboard hadapan yang menampakkan barisan corak-corak bersegi yang seakan-akan rekaan abstrak. Namun ia sebenarnya adalah olahan semula peta topografi permukaan pergunungan bumi Sweden.

Rekaan lampu belakang yang akan digunakan pada semua kereta Volvo elektrik.

PRESTASI JENTERA

C40 jika ingin dibayangkan saiznya, ia lebih menjurus kepada SUV seperti Honda CRV atau Proton X50. Namun SUV kerdil ini mampat dengan instrumen-instrumen pengendalian dan serta prestasi rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya yang menghasilkan output sebanyak 408 kuasa kuda (hp) dan tork 660Nm. Figura-figura ini membolehkan ia memecut daripada 0 ke 100 km/j dalam masa 4.7 saat. Ia juga mampu bergerak sejauh 450km dengan sekali cas, dan turut menampilkan keupayaan mengecas sehingga 80 peratus dalam masa 28 minit.

SISTEM HIBURAN

Memasarkan sebuah kenderaan elektrik sepenuhnya, harus dikaitkan dengan dunia digital yang kini menjadi satu kebiasaan untuk semua penduduk dunia. Oleh itu, Volvo turut memaparkan papan peranti yang bertindak sebagai satu ekstensi daripada keperluan anda.

Penggunaan sistem GOOGLE turut memainkan peranan besar sama ada sistem navigasinya yang menggunakan GOOGLE MAPS, GOOGLE ASSISTANCE untuk membantu anda mencari nama dan nombor telefon yang terdapat dalam alat peranti anda, serta mencari lokasi atau tempat-tempat yang ingin dituju dengan hanya memulakan arahan suara “HEY GOOGLE!”. Penggunaan GOOGLE PLAY membolehkan anda menggunakan aplikasi-aplikasi yang anda sering gunakan untuk tujuan hiburan dan sebagainya. Penggunaan GOOGLE ini merupakan satu sistem peranti yang ternyata menjadi kegunaan orang ramai masakini dibawa terus ke dalam kabin kereta anda.

Kerusi tidak lagi dibaluti kulit, tetapi fabrik selaras konsep mesra alam.

PEMANDUAN DUNIA SEBENAR

C40 di atas kertas, secara teorinya adalah kenderaan masa hadapan yang diperkenalkan kepada anda sekarang. Tetapi sejauh manakah kenderaan futuristik ini sesuai digunakan dalam keadaan pemanduan yang sebenar? Adakah sistem bantuan pemanduan elektroniknya benar-benar membantu pemandunya dalam pemanduan sebenar, atau hanya sekadar langkah pemasaran semata-mata?

Ikuti bahagian ke-2 minggu hadapan di mana pandu uji VOLVO C40 ini dibuat atas jalan raya kota Kuala Lumpur yang sesak dengan cuaca panas, pandu uji di jalan raya luar bandar di Gothenburg, Sweden, serta pandu uji ekstrim di atas tasik beku di kawasan Lingkungan Artik (Kutub Utara), di Kiruna, Sweden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN