PENCAPAIAN dan penyertaan ekuiti bumiputera masih rendah dalam pelbagai aspek, menurut Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.
Justeru itu, Belanjawan 2023 akan memberi tumpuan berterusan kepada usaha meningkatkan penglibatan bumiputera dalam pelbagai aktiviti sosioekonomi yang bernilai tambah tinggi dan mempunyai potensi pertumbuhan bagi melahirkan masyarakat bumiputera yang lebih berdaya tahan dan mampan.
Isu ketidaksamarataan, jurang pendapatan dan pembangunan wilayah akan terus ditangani dalam mencapai pengagihan kekayaan yang lebih saksama dan pertumbuhan ekonomi seimbang di semua negeri.
Selain itu, inisiatif Belanjawan 2023 juga akan memberikan penekanan untuk menaik taraf infrastruktur dan merancakkan semula aktiviti ekonomi di luar bandar serta menambah baik kesalinghubungan antara luar bandar dan bandar.
Katanya, sumber yang mencukupi akan disediakan bagi memacu pembangunan sosioekonomi yang rancak di seluruh negara khususnya di Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira keperluan dan keutamaan pembangunan negeri.
Pelaksanaan projek atau program sedia ada juga akan dipercepat bagi menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan prospek pendapatan di wilayah tersebut.
Jelasnya, kerajaan juga akan turut memberikan keutamaan tertinggi kepada pengukuhan ekosistem tadbir urus pada semua peringkat bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada institusi kerajaan.
“Seterusnya, usaha akan diambil untuk memperkukuh tadbir urus yang baik bagi meningkatkan ketelusan, integriti, kecekapan dan akauntabiliti terutamanya dalam perolehan kerajaan, tata kelola syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi Parlimen.
“Elemen demokrasi dan tadbir urus pada peringkat institusi akan dipertingkatkan dengan menginstitusikan proses rundingan awam, hebahan saluran komunikasi dan pelaksanaan audit kualiti.
“Usaha tersebut akan memastikan semua kementerian, institusi kerajaan, perniagaan dan korporat peka dengan kewujudan dasar sedia ada dan baharu serta komited untuk menyokong pelaksanaannya,” katanya.
Menurut laporan berkenaan, konsep Karamah Insaniah iaitu menghormati maruah manusia dan kehormatan individu merupakan kunci untuk menerapkan nilai hormat-menghormati dan toleransi dalam masyarakat.
Katanya, usaha itu penting bagi menyatupadukan rakyat dalam menyumbang kepada kemakmuran negara.
“Inisiatif ini termasuk meningkatkan taraf hidup dan status sosioekonomi masyarakat tertentu khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar dan golongan rentan bagi menggalakkan inklusiviti,” katanya. – UTUSAN