PETALING JAYA: Jaguar Land Rover Malaysia baru-baru ini melancarkan Range Rover L460 serba baharu, yang bakal mempelopori segmen kenderaan utiliti sport (SUV) menerusi ciri-ciri serba moden dan anggun yang sangat mengagumkan.
Range Rover baharu itu menggabungkan kecanggihan teknologi dengan kemewahan moden untuk memperlihatkan keanggunan yang tiada tandingan bagi setiap penghuni kenderaan dan merupakan model pertama yang menggunakan Seni Bina Longitud Modular Fleksibel (MLA-Flex) Land Rover baharu.
SUV mewah generasi kelima ini menzahirkan falsafah reka bentuk moden Land Rover ke peringkat yang lebih tinggi dengan pentafsiran kontemporari profilnya yang terkenal, untuk menghasilkan reka bentuk yang nyata luar biasa.
Range Rover serba baharu ini menampilkan perkadaran reka bentuk yang seimbang, permukaan reduktif dan garis bentuk jitu – disokong oleh teknologi reka bentuk canggih untuk memberikannya penampilan yang mantap lagi hebat.
Jeffrey Gan, Pengarah Urusan, Bahagian Peruncitan & Pengedaran, Sime Darby Motors Malaysia, Hong Kong & Macau, Jeffrey Gan berkata, dengan keupayaan hebat dan kecanggihan moden, Range Rover L460 merupakan model terbaharu yang dibanggakan dalam portfolio kenderaan bertaraf dunia kami.
“Sebagai sebuah SUV premium, kami yakin bahawa model baharu ini amat dinanti-nantikan dalam pasaran kereta mewah Malaysia yang semakin berkembang,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Urusan Jaguar Land Rover Malaysia, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz pula berkata, dalam usaha Jaguar Land Rover mencipta kenderaan yang paling diidamkan di dunia, Range Rover L460 telah mentakrifkan semula segmen SUV mewah dengan kehalusan hasil ketukangan dan teknologi terkini.
“Daripada reka bentuk kepada keupayaan inovatif dan ruang dalam yang serba mewah, Range Rover baharu sememangnya berada dalam kelas tersendiri, membolehkan pemandu menikmati pengalaman memandu yang tiada tandingan,” katanya.
Menurut syarikat itu, reka bentuk unik tersendiri kenderaan itu lebih menyerlah dengan garis tepi tanpa putus, yang memberikan penampilan gah dan menarik kepada badan Range Rover.
Permukaan rata dan luas yang tampak kemas, serta lampu belakang yang tersembunyi sehingga dinyalakan dan perincian yang tepat membawa falsafah reka bentuk ke tahap penglibatan emosi yang lebih tinggi, jelasnya.
Ciri-ciri keselamatan serba canggih turut disediakan, termasuk Suspensi Udara Elektronik generasi akan datang untuk mengurangkan ketinggian pemanduan apabila bergerak pada kelajuan lebih 105km/h bagi meningkatkan kecekapan dan mempersiapkan kenderaan untuk mengambil selekoh dengan mudah, serta ciri-ciri aerodinamik pintar seperti pendinginan brek aktif.
Satu kelebihan tambahan ialah Stereng Semua Roda Standard yang lebih stabil pada kelajuan tinggi dan jarak pusingan lebih kecil tidak sampai 11m, menjadikan kenderaan ini paling mudah dikendalikan.
Range Rover serba baharu juga dipacu transmisi automatik lapan kelajuan yang boleh dialihkan dengan lancar dan transmisi dwikelajuan untuk memberikan tahap kawalan lebih tinggi pada kelajuan rendah apabila bergerak di luar jalan.
Range Rover L460 kini dijual pada harga daripada RM1.3 juta untuk bebas cukai dan RM2.5 juta untuk cukai berbayar. – UTUSAN










