Prospek F&N dijangka kekal kukuh - Utusan Malaysia

Prospek F&N dijangka kekal kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIDF Research meningkatkan ramalan pendapatan Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) untuk tahun kewangan 2023 sebanyak 5.4 peratus dan untuk tahun kewangan 2024 sebanyak 7.2 peratus. 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan ramalan itu dilakukan selepas mengambil kira jualan kukuh yang disebabkan oleh pulangan pelawat antarabangsa yang boleh meningkatan pengguna minuman di luar rumah dan kos bahan mentah yang lebih rendah berikutan kejatuhan harga komoditi global. 

MIDF Research optimis mengenai prospek F&N didorong oleh kehadiran semula pelancong antarabangsa di Malaysia dan Thailand serta pemulihan jualan eksport ke China. 

Selain itu katanya, prospek F&N juga disokong oleh hasil tambahan daripada integrasi Cocoaland, transformasi Ladang Permai Damai kepada ladang tenusu bersepadu dan ladang tanaman serta penurunan harga komoditi global yang mungkin meningkatkan margin. 

“Berdasarkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan tidak dikawal (PATANCI) F&N meningkat sebanyak 20 peratus suku ke suku kepada RM111.7 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023, seiring dengan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM1.2 bilion pada suku tersebut berbanding RM1.1 bilion pada suku keempat tahun kewangan 2022. 

“Momentum menaik itu disumbangkan oleh jualan perayaan dan jualan eksport yang lebih kukuh daripada makanan dan minuman (F&B) Malaysia sebanyak 18.8 peratus suku ke suku serta sumbangan hasil tambahan daripada Cocoaland selepas selesai pengambilalihan pada 4 November 2022. 

“Pada asas tahunan, PATANCI Kumpulan turun 4.1 peratus tahun ke tahun kepada RM111.7 juta walaupun pertumbuhan hasil lebih tinggi sebanyak 10.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.2 bilion. 

“Itu disebabkan terutamanya oleh pengurangan keuntungan operasi F&B Thailand dan peningkatan kos kewangan disebabkan peminjaman yang lebih besar,” katanya dalam satu nota kajian. 

Tambah firma penyelidikan, F&B Malaysia mencatatkan peningkatan keuntungan operasi sebanyak RM70.4 juta, naik 41.5 peratus suku ke suku. 

Jelasnya, itu kebanyakan disebabkan oleh peningkatan dalam hasil daripada jualan bermusim, jualan eksport, sumbangan daripada Cocoaland dan margin yang lebih baik untuk produk tenusu dan minuman. 

Sebaliknya, katanya, keuntungan operasi Thailand yang lebih rendah sebanyak RM67.9 juta disebabkan oleh volum eksport yang lebih lemah ke Indochina. 

“Justeru, kami mengekalkan saranan beli dengan harga sasaran (TP) yang lebih tinggi iaitu RM33.50 daripada RM29.70 sesaham,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.