PMINT sasar perolehan RM100 juta

PMINT sasar perolehan RM100 juta

WAN Adnan Wan Derahman (enam, kiri) bersama pengurusan tertinggi syarikat Kumpulan PMINT pada majlis makan malam di Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Perbadanan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), agensi pene­ra­ju dan penyumbang utama pembangunan sosio-ekonomi Terengganu, menyasarkan pe­ro­lehan sebanyak RM100 juta tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman berkata, ia peningkatan hampir 33 peratus berbanding perolehan sebanyak RM67 juta yang direkodkan tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya optimis sasaran itu boleh dicapai hasil penyusunan semula beberapa strategi untuk semua sembilan anak syarikat Kumpulan PMINT yang terlibat dalam sektor pembuatan, pelancongan, pertanian, perlombongan, pembangunan hartanah, pengangkutan dan pengurusan kompleks serta strata di negeri ini.

“Sepanjang tahun lepas, antara syarikat yang menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan ialah PB Hotel Management Sdn. Bhd. yang menguruskan operasi PB Hotel di bandar raya ini.

“Selain itu, Permint Granite Sdn. Bhd. dalam sektor perlombongan, Pertima Terengganu Sdn. Bhd. (sektor pembuatan) dan P-Excell Management Sdn. Bhd. (pembangunan hartanah).

“Insya-Allah pada tahun ini, TTI Management Sdn. Bhd. yang menguruskan operasi Taman Tamadun Islam (TTI) juga akan mula menampakkan keuntungan walaupun sebelum ini bergelut dengan kesukaran untuk menghasilkan keuntungan disebabkan kos operasi yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis makan malam syarikat Kumpulan PMINT yang diha­diri lebih 400 petugasnya di TTI dekat Losong di sini, semalam.

Tambah Wan Adnan, sejak TTI dipilih menjadi hab pelancongan ke Pulau Redang, ia telah memberi impak yang cukup besar terhadap perolehan keuntu­ngan syarikat dan beberapa aktiviti lain juga boleh dilaksanakan di pusat pelancongan tersebut.

Menurutnya, syarikat lain seperti Pertima juga telah menjana keuntungan namun dengan penyusunan semula strategi pemasaran, syarikat akan cuba meneroka pasaran luar negara untuk mencatat keuntungan yang lebih membanggakan pada tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN