KUALA LUMPUR: Penganalisis ekonomi menjangkakan bank-bank bakal mengalami pertumbuhan pinjaman yang lebih lemah pada tahun ini, di tengah-tengah tekanan inflasi dan aktiviti ekonomi yang perlahan.
Bagaimanapun, mereka percaya bahawa sektor itu akan terus mengalami tahun yang agak baik.
Dalam nota penyelidikannya, Kenanga Investment Bank Bhd. meramalkan 2023 akan menyaksikan pertumbuhan pinjaman pada 4 hingga 4.5 peratus.
Hong Leong Investment Bank. Bhd. (HLIB) pula menjangkakan pinjaman meningkat pada 5 hingga 5.5 peratus, manakala CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd. mengunjurkan pertumbuhan pinjaman pada kadar 4 hingga 5 peratus.
Pertumbuhan pinjaman industri meningkat daripada 5.5 peratus tahun ke tahun pada akhir November 2022 kepada 5.7 peratus pada akhir Disember 2022, didorong oleh segmen isi rumah dan perniagaan.
Kenanga turut mengekalkan status ‘overweight’ terhadap sektor berkenaan dengan jangkaan bank-bank berkemungkinan tidak akan terjejas secara drastik seperti sektor lain, memandangkan pendedahan risiko yang pelbagai dan tekanan berterusan mengukuhkan kesiapsiagaan mereka.
“Dalam jangka sederhana, sekiranya (ekonomi) makro tidak menjadi lebih teruk daripada yang dijangkakan, kita akan melihat pendapatan yang kukuh meningkatkan dalam keseluruhan sektor,” kata penganalisis Kenanga, Clement Chua.
Beliau berpendapat, Bank Negara Malaysia (BNM) juga tidak mungkin menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kerana pemerhatian lanjut diperlukan untuk melihat toleransi sistem kewangan bagi menerima kenaikan tersebut.
Sementara itu, Penganalisis HLIB, Chan Jit Hoong mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas sektor itu, kerana percaya sektor perbankan mempunyai profil risiko-ganjaran yang seimbang.
“Bank kini mungkin terpaksa bergelut dengan kemungkinan kos dana yang lebih tinggi, pendapatan bukan faedah yang lebih kecil dan pertumbuhan pinjaman,” katanya.
Penganalisis CGS-CIMB, Winson Ng pula mngekalkan saranan ‘berwajaran berlebihan’ (overweight) ke atas bank-bank berdasarkan potensi pemangkin penilaian semula pengembangan berterusan dalam margin faedah bersih di tengah-tengah kitaran OPR yang menaik dan pertumbuhan lebih kukuh dalam pendapatan bukan faedah. – UTUSAN










