Penarikan WRO tarik lebih ramai pekerja asing industri sawit - Utusan Malaysia

Penarikan WRO tarik lebih ramai pekerja asing industri sawit

Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia bakal menjadi tarikan kepada pekerja asing dalam sektor perladangan kelapa sawit ekoran penarikan semula Perintah Tahan Pelepasan (WRO) terhadap syarikat Sime Darby Plantation (SDP), baru-baru ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Jabatan Ekonomi dan Perniagaan Tani Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Shri Dewi Applanaidu berkata, penarikan WRO oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (US CBP) dapat memulihkan reputasi negara yang dikaitkan dengan buruh paksa sebelum ini.

Menurut beliau, pekerja asing terutamanya dari negara jiran, Indonesia dijangka akan kembali bekerja di sektor perladangan kelapa sawit selepas negara kekurangan tenaga buruh ekoran pandemik Covid-19 sejak 2020.

“Apabila WRO ditarik semula kita boleh lihat reputasi Malaysia yang dikaitkan dengan buruh paksa dapat dipulihkan dan secara automatik kita boleh lihat eksport minyak sawit akan meningkat.

“Kalau kita lihat audit yang dibuat ke atas SDP menunjukkan syarikat itu tidak mengamalkan buruh paksa seperti yang didakwa dan ini memberi daya tarikan kepada pekerja dari Indonesia khususnya untuk kerja di negara kita,” katanya.

Mengulas lanjut, Shri Dewi berkata, penarikan WRO terhadap SDP juga turut memulihkan imej negatif industri sawit negara dikalangan negara barat terutamanya Kesatuan Eropah berkenaan isu penebangan hutan bagi penanaman kelapa sawit.

Katanya, meskipun penarikan WRO berkait rapat dengan isu buruh paksa, ia tetap memberi tanggapan baik kepada Malaysia memandangkan negara kita terbukti mengamalkan pengeluaran sawit yang mampan.

“Walaupun ia berkait dengan buruh paksa, tetapi pada pandangan saya ia tetap akan memberi tanggapan positif di mana mereka melihat pengeluaran sawit Malaysia mampan kerana mengambil kira kebajikan buruh dan sebagainya.

“Sudah pasti situasi ini juga akan menarik keyakinan pelabur-pelabur luar dan sedikit sebanyak membantu pertumbuhan industri sawit negara tahun ini,” katanya.

Menurut beliau,kerajaan sewajarnya menjadikan SDP sebagai contoh kepada pemain industri sawit negara yang lain dalam memastikan tiada sekatan dikenakan selepas ini.

“SDP merupakan antara syarikat minyak sawit terbesar negara dan saya rasa boleh menjadi panduan atau role model kepada syarikat perladangan yang lain bagi menangani isu buruh paksa dalam sektor perladangan kelapa sawit,” katanya.

Terdahulu Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dalam laporan media menyifatkan penarikan WRO yang dikenakan ke atas SDP memberi impak positif kepada industri sawit negara.

Beliau berkata, ia berkait rapat dengan pasaran eksport sawit negara, kelangsungan perniagaan industri prinsipal, usahasama dan subsidiari sawit serta reputasi Malaysia untuk tidak dikaitkan dengan amalan buruh paksa.

Untuk rekod, CBP AS sebelum ini mengenakan WRO terhadap syarikat Sime Darby Plantation sejak 2020, sebelum menarik balik perintah berkenaan pada 31 Januari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya