Pelupusan hutang beri impak besar kepada aliran tunai Felda - Idris

Pelupusan hutang beri impak besar kepada aliran tunai Felda – Idris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelupusan sebahagian hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion daripada jumlah keseluruhan hutang sebanyak RM12.1 bilion telah pun selesai dilaksanakan pada 2021, menurut Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh.

Beliau berkata, keputusan ini tidak pernah dibatalkan oleh mana-mana kerajaan termasuk Kerajaan Perpaduan dan semua peneroka yang menandatangani perjanjian pelupusan hutang tersebut telah menikmati maanfaat dengan bayaran kembali pinjaman yang jauh lebih rendah dan mampu dibayar.

Katanya, buat masa ini, Felda tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang kali kedua memandangkan pelupusan yang dilaksanakan pada tahun 2021 telah memberi impak yang besar kepada aliran tunai Felda.

“Bayaran kembali baki pinjaman kini akan diteruskan seperti perjanjian pelupusan hutang tersebut demi menjamin kelangsungan organisasi dan membolehkan Felda terus menjaga kebajikan warga peneroka,” katanya dalam kenyataan.

Idris berkata, pada masa yang sama, kerajaan melalui Felda, tetap komited untuk terus membantu peneroka dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pendapatan peneroka Felda serta memastikan hutang mereka tidak terus meningkat.

“Komitmen ini telah terbukti apabila pada tahun 2022, purata produktiviti ladang peneroka telah meningkat sehingga 19.43 tan perhektar setahun berbanding 17.29 tan perhektar setahun mewakili peningkatan lebih 12 peratus. Ini sekali gus akan dapat memberikan pulangan pendapatan yang lebih tinggi kepada warga peneroka Felda,” katanya.

Idirs memberitahu, kenyataan berkaitan pelupusan hutang Felda yang dilaporkan di media arus perdana ketika ini merupakan laporan daripada jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said kepada Pertanyaan Lisan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) di Dewan Rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN