KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan momentum peningkatan pada Januari 2023 dengan nilai perdagangan meningkat 1.9 peratus tahun ke tahun kepada RM207.51 bilion.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, eksport dan import juga turut mencatat peningkatan masing-masing sebanyak 1.6 peratus kepada RM112.84 bilion dan 2.3 peratus kepada RM94.67 bilion.
Katanya, pertumbuhan berkenaan disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG) serta barangan elektrik dan elektronik (E&E).
Eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN dan Jepun juga turut merekodkan pertumbuhan dua digit.
“Lebihan dagangan berjumlah RM18.16 bilion, mengurang 2.1 peratus dan ini merupakan lebihan dagangan yang ke-33 bulan berturut-turut dicatatkan sejak Mei 2020,” katanya.
MITI berkata, bagaimanapun nilai dagangan negara merosot berbanding Disember 2022 dimana perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menurun 11.8 peratus, 14.4 peratus, 8.6 peratus dan 35.5 peratus.
Jelasnya, ia disebabkan bilangan hari bekerja yang singkat serta cuti perayaan yang panjang pada Januari 2023.
“Pada Januari 2023, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 84.2 peratus daripada jumlah eksport menyusut secara marginal sebanyak 0.1 peratus tahun ke tahun kepada RM94.97 bilion.
“Ini berikutan eksport yang lebih rendah bagi barangan perkilangan logam, keluaran getah serta barangan besi dan keluli. Walau bagaimanapun, kenaikan eksport dicatatkan bagi keluaran petroleum, barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta barangan minuman dan tembakau.
Secara kolektif, eksport keluaran petroleum dan barangan E&E menyumbang 52.2 peratus kepada jumlah eksport Malaysia dan meningkat sebanyak RM7.66 bilion,” katanya. – UTUSAN










