MCMC sekat 6,381 laman sesawang judi dalam talian

MCMC sekat 6,381 laman sesawang judi dalam talian

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah menyekat sebanyak 6,381 laman sesawang judi dalam talian bagi tempoh antara 2020 hingga akhir 2022.

Selain itu, sejumlah 212,399 talian telefon termasuk talian mudah alih dan tetap yang menghantar spam khidmat pesanan ringkas (SMS) meragukan seperti mempromosikan judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain
telah ditamatkan perkhidmatannya bermula 2020 sehingga 2022.

Jelas MCMC, tindakan itu berdasarkan kepada permohonan rasmi daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan di bawah Akta 289 dan gesaan sebuah pertubuhan pengguna agar platform seumpama itu dikawal selia.

“MCMC sentiasa komited dalam menyokong tindakan penguatkuasaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha untuk membanteras kegiatan judi dalam talian yang tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289),” katanya dalam kenyataan.

Suruhanjaya itu berkata, selain tindakan penguatkuasaan (pendakwaan/sekatan), kesedaran diri, pendidikan serta kawalan kendiri adalah kunci dalam usaha membanteras perjudian dalam talian.

Katanya, pengguna secara umum juga boleh memainkan peranan untuk turut sama dalam usaha menyekat aktiviti promosi judi dalam talian, antaranya dengan melaporkan kepada MCMC promosi iklan-iklan judi yang diterima melalui SMS supaya pembatalan talian dapat dilaksanakan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

“Sekiranya pengguna menerima iklan judi melalui aplikasi pesanan ringkas seperti WhatsApp dan media sosial seperti Facebook, laporkan nombor talian atau akaun media sosial tersebut kepada penyedia perkhidmatan aplikasi atau penyedia platform media sosial supaya nombor/akaun tersebut tidak dapat menghantar iklan promosi judi dalam talian kepada pengguna yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×