KUALA LUMPUR: Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), agensi kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan menyasarkan pendapatan RM1.5 billion hingga RM1.7 bilion pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Healthcare, Mohd. Daud Mohd. Arif berkata, MHTC kini berada di landasan yang baik untuk mencapai pemulihan industri pasca pandemik.
“Pada tahun lalu, industri pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia mencatatkan lebih daripada RM1.2 bilion pendapatan daripada pelancong penjagaan kesihatan.
“Sepanjang tahun lalu, MHTC merekodkan beberapa pencapaian penting seperti kejayaan pelaksanaan gelembung perjalanan perubatan sebelum pembukaan semula sempadan, pelancaran pelan tindakan industri, memperkenalkan kembali e-visa perubatan, menambahbaik ekosistem MHTC menerusi pendigitalan dan mengembangkan lagi jangkauan pasaran.
“Bagi mencapai sasaran pendapatan untuk tahun ini, kami akan melaksanakan beberapa inisiatif utama untuk terus memacu pertumbuhan industri, antaranya ialah pelancaran One-Stop Portal bagi memudahkan pelancongan kesihatan untuk mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan yang diberikan dalam penjagaan kesihatan negara.
“Kami juga akan melaksanakan ‘Health Facilitator Training Programme’ untuk melengkapkan ejen pelancongan antarabangsa dengan pengetahuan dan kemahiran penting untuk menjadi ejen MHTC di luar negara.
“Selain itu, kami akan membangunkan Flagship Medical Tourism Hospital yang pertama di Malaysia untuk mewujudkan lebih banyak kerjasama strategik serta pendukung bagi jenama MHTC.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan hospital-hospital swasta dan awam untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan penjagaan kesihatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Ujarnya, pada 2026 sektor pelancongan kesihatan dijangka meraih jumlah pendapatan sebanyak AS$56 bilion di mana sektor itu akan berkembang paling banyak di Asia Pasifik dengan kadar pertumbuhan sebanyak 34 peratus.
“Jadi, inilah masanya untuk kita menarik pelancong kesihatan untuk datang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan di sini supaya boleh menjana pendapatan untuk negara,” katanya.
Mengulas cabaran yang bakal dihadapi Malaysia Healthcare pada tahun ini, Mohd. Daud berkata, cabaran utamanya adalah dari segi kebolehcapaian.
Katanya, selepas pandemik Covid-19 harga tiket penerbangan telah melambung tinggi sekali gus membebankan rakyat Malaysia dan pelancong-pelancong kesihatan yang akan datang.
“Rata-rata, maklum balas yang diterima daripada pelancong kesihatan mengatakan kos untuk melakukan perjalanan merupakan cabaran terbesar mereka.
“Justeru, kami berharap dalam masa terdekat masalah itu dapat diatasi dan kembali normal. Kami percaya ia boleh diatasi apabila permintaan dan bekalan kembali stabil,” katanya.
Dalam pada itu, Malaysia Healthcare mengumumkan Anugerah Media Pelancongan Kesihatan (MTMA) yang bakal kembali tahun ini bagi mengiktiraf sumbangan media tempatan dan antarabangsa dalam membangunkan kesedaran tentang industri pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia.
Menerusi MTMA, Malaysia Healthcare mahu memperkasakan pengamal media untuk menjadi antara pendukung industri pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia.
Malaysia Healthcare menjemput peserta daripada media tempatan dan antarabangsa untuk menghantar penyertaan mereka dari 14 Februari hingga 14 Oktober 2023 dan berpeluang memenangi hadiah wang tunai dan trofi.
Penyertaan akan dinilai berdasarkan lima bidang utama iaitu kualiti penyelidikan, kualiti teknik atau pembentangan, kreativiti, kandungan/tajuk utama, serta ketersediaan digital atau kebolehkongsian kandungan. – UTUSAN










