PETALING JAYA: Pemaju rumah mampu milik dan perbandaran bersepadu, Lagenda Properties Berhad (Lagenda) memeterai perjanjian jual beli bersyarat untuk mengambil alih tanah seluas 435.23 hektar di Kulai, Johor dengan cadangan harga RM398.2 juta.
Perjanjian tersebut dilakukan melalui anak syarikat tidak langsungnya, Lagenda Mersing Sdn. Bhd., dengan Seriemas Development Sdn. Berhad, anak syarikat tidak langsung milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Menurut kenyataannya, cadangan pembelian tersebut akan dipenuhi melalui gabungan dana dan pinjaman yang dijana secara dalaman.
Pengarah Urusan Lagenda, Datuk Jimmy Doh berkata, pengambilalihan strategik itu akan membolehkan Lagenda memanfaatkan pasaran hartanah yang besar.
Katanya, kajian mereka menunjukkan terdapat ketidakpadanan bekalan dan permintaan perumahan yang tinggi di Johor, khususnya dalam segmen kediaman tanah mampu milik..
“Rumah mampu milik pada masa ini mempunyai permintaan yang tinggi tetapi kurang dibekalkan, Ini adalah segmen khusus yang diduduki Lagenda pada masa ini dan mempunyai kehadiran pasaran yang kukuh.
“Saiz tanah ini setanding dengan perbandaran utama kami di Perak iaitu Bandar Baru Setia Awan Perdana dan Lagenda Teluk Intan, kedua-duanya terletak di kawasan seluas 404.6 hektar.
“Perbandaran utama yang besar ini membolehkan kami memperoleh margin yang lebih kukuh disebabkan oleh skala ekonomi yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Lagenda terkenal kerana membangunkan perbandaran perumahan mampu milik terbesar di Perak dan Kedah, memberikan syarikat kedudukan yang kukuh di utara Semenanjung Malaysia.
“Dengan simpanan tanah yang cukup besar kini di tangan di seluruh Semenanjung, kami akan meningkatkan momentum dalam beberapa tahun akan datang untuk mengukuhkan lagi reputasi sebagai salah satu pemaju rumah mampu milik paling hebat di Malaysia,” jelasnya.
Tambahnya, sehingga suku ketiga 2022, Lagenda mempunyai bank tanah di tangan kira-kira 1,507. 8 hektar dan setelah selesai pengambilalihan strategik baharu ini, bank tanah Kumpulan akan meningkat hampir 30 peratus kepada lebih 1,942.8 hektar. – UTUSAN









