Kurangkan yuran rekalibrasi pekerja asing - Utusan Malaysia

Kurangkan yuran rekalibrasi pekerja asing

SEKTOR pembinaan negara catat peningkatan bagi suku keempat 2022. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta mengurangkan yuran rekalibrasi tenaga kerja bagi mengambil semula pekerja asing yang dikekalkan pada RM1,500 buat masa ini.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA),  Datuk NK Tong berkata, keputusan yang diambil kerajaan dengan mengekalkan yuran tersebut amat membimbangkan REHDA meskipun terdapat desakan untuk menyemak dan menguranginya.

Katanya, yuran yang dikenakan itu disifatkan terlalu tinggi kepada kebanyakkan perniagaan dan pengusaha terutamanya kepada industri di mana beratus-ratus pekerja digunakan dalam satu projek.

“Jumlah ini akan menambah beban kewangan yang besar yang mungkin tidak menyumbang kepada daya maju dari segi kewangan.

“Kami percaya bahawa yuran ini seharusnya dikenakan serendah mungkin untuk menggalakkan perniagaan berkaitan mengambil bahagian dalam program ini, jika tidak jumlah yang tinggi boleh menjadi penghalang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut NK Tong, Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini merupakan langkah yang dialu-alukan untuk industri pembinaan dan hartanah

Katanya, sebagai suara pemaju hartanah di Malaysia, REHDA menyokong inisiatif itu dan berharap semua pemaju akan mengambil kesempatan daripada program itu untuk memastikan status imigresen pekerja asing mereka mematuhi undang-undang.

Bagaimanapun, jelas beliau, matlamat kerajaan menerusi program itu seharusnya membantu memulihkan industri dan ekonomi negara supata syarikat dapat menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada lebih ramai pekerja dan mendapat keuntungan untuk membayar cukai.

“Program ini sendiri tidak seharusnya dijadikan sebagai sumber pendapatan kerajaan. Pada masa semua kos terus meningkat, kehadiran kerajaan adalah untuk membantu,” katanya.

Mengulas lanjut, NK Tong berkata, sekiranya yuran rekalibrasi tenaga kerja berkaitan dikurangkan, pemaju dapat menawarkan harga rumah lebih rendah melalui penjimatan yang disalurkan meskipun terpaksa bergelut menurunkan harga kerana menghadapi inflasi berterusan dan meningkat.

“Biarpun kos tinggi, REHDA menggalakkan majikan dalam semua industri yang mempunyai pekerja asing tanpa izin untuk mengambil bahagian dalam program rekalibrasi ini untuk memastikan kesejahteraan pekerja dilindungi, dan projek serta perniagaan boleh disambung semula tanpa sebarang masalah.

“REHDA berharap ahli kami akan mematuhi undang-undang ini, kerana keengganan untuk berbuat demikian boleh menjejaskan perkembangan projek semasa dan pembangunan yang dirancang pada masa hadapan,” katanya.

Tambahnya, persatuan berkenaan akan terus menggalakkan ahlinya menjalankan tanggungjawab membina negara dengan menyediakan rumah mampu milik berkualiti kepada rakyat dengan berkesan dan cekap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya