KDNK 2022 dijangka pada 8.5 hingga 9.0 peratus - Utusan Malaysia

KDNK 2022 dijangka pada 8.5 hingga 9.0 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertumbuhan ekonomi setahun penuh 2022 dijangka berada pada 8.5 peratus hingga 9.0 peratus dengan pengembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat diunjur lebih sederhana berlegar sekitar 6.0 peratus hingga 8.0 peratus. 

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pertumbuhan suku keempat ini lebih sederhana berbanding suku ketiga 2022 iaitu pada 14.2 peratus kerana asas perbandingan yang lebih tinggi berbanding suku keempat 2021, apabila ekonomi dibuka semula pada 10 Oktober 2021. 

Ujarnya, ia merupakan permulaan pemulihan ekonomi negara dan KDNK negara juga berkembang 3.6 peratus pada waktu itu. 

“Selain daripada kesan asas yang rendah, pertumbuhan positif suku keempat 2022 juga disokong terutamanya oleh penggunaan swasta dan perdagangan luar yang terus mencatatkan angka yang positif.

“Menurut data Jabatan Standard Malaysia (JSM), jumlah perdagangan, eksport dan import bagi suku keempat 2022 mencatatkan peningkatan berbanding suku keempat 2021. Eksport melonjak sebanyak 11.8 peratus kepada RM393.1 bilion dan import berkembang sebanyak 18.7 peratus kepada RM325. 6 bilion.

“Selain itu ekonomi Malaysia dilihat kekal stabil untuk suku terakhir tahun lalu hingga 2023, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, keadaan pasaran buruh yang bertambah baik, dan peningkatan ketibaan pelancong yang mencapai lebih sembilan juta orang pada 2022,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini mengunjurkan ekonomi negara berkembang pada kadar 6.5 hingga 7 peratus pada 2022.

Bank Dunia pula menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ke tahun bagi Malaysia kepada 6.4 peratus daripada 5.5 peratus pada September 2022.

Pada Julai 2022, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ke tahun bagi Malaysia kepada 5.1 peratus pada 2022.

BNM dijangka mengumumkan prestasi ekonomi suku keempat dan setahun penuh 2022 Jumaat ini.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, berbeza dengan Aimi Zulhazmi, menjangkakan KDNK dianggarkan akan berada pada tahap 4.0 hingga 5.0 peratus.

“Prestasi KDNK pada suku keempat 2021 amat memberangsangkan iaitu sebanyak RM371.3 billion, peningkatan sekitar 10 peratus dari KDNK suku ketiga 2021. 

“Oleh itu, jika KDNK suku keempat 2022 hanya naik 1.0 peratus sahaja daripada KDNK suku ketiga 2022, maka ia akan mencatat peningkatan 4.5 peratus berbanding KDNK suku keempat 2021.

“KDNK pada suku ketiga 2022 adalah RM383.8 bilion, yang tertinggi dalam sejarah. Kalau mahu capai 6.0 peratus bermakna KDNK suku keempat mesti mencecah RM393.5 billion iaitu peningkatan 2.5 peratus dari suku ketiga. Namun ia tidak mustahil untuk dicapai,” ujarnya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya