PETALING JAYA: Malaysia ditangga ke-21 dalam Indeks Kesediaan Dron (DRI), meningkat daripada tempat ke-30 tahun lepas, menjadikan negara berada di kedudukan teratas dalam negara Asia Tenggara dalam indeks tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Dzuleira Abu Bakar berkata, teras kesediaan negara untuk dron meningkat sebanyak 29 mata peratusan dalam DRI, apabila ia mencecah 60 peratus, meningkat daripada 31 peratus tahun sebelumnya.
Katanya, ia meletakkan industri dron di Malaysia pada trajektori pertumbuhan yang jelas dengan potensi menyumbang RM50.71 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan menjelang 2030
“Pencapaian negara dalam DRI adalah hasil awal Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022 – 2030 (MDTAP30) dan inisiatif lain yang melibatkan kerjasama padu oleh pelbagai agensi dan pihak berkepentingan.
“Ini termasuklah sokongan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Dzuleira berkata, misi utama MDTAP30 adalah memberi tumpuan kepada pembangunan sistem Pengurusan Trafik Tanpa Pemandu (UTM) kebangsaan, portal pendaftaran dron digital, penggunaan kes dron khas dalam sektor utama dan pembangunan bakat seperti akreditasi Organisasi Latihan Juruterbang Jauh (RPTO).
Semakan tahunan DRI merupakan sebahagian daripada Laporan Peraturan Dron tahunan Drone Industry Insights (DII), menilai negara yang mengambil bahagian pada enam parameter iaitu kebolehgunaan, skop operasi, sumber manusia, infrastruktur pentadbiran, pensijilan dan penyepaduan ruang udara.
Laporan itu menunjukkan bahawa negara yang mempunyai peningkatan paling tinggi dalam kesediaan dron adalah United Kingdom (UK), Brazil, Switzerland, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan China.
Malaysia mencapai penarafan 100 peratus dalam kebolehgunaan, sumber manusia dan pensijilan, dengan bidang yang perlu diperbaiki dalam skop operasi (kesediaan 50 peratus), penyepaduan ruang udara (kesediaan 40 peratus) dan infrastruktur pentadbiran (kesediaan 25 peratus). – UTUSAN










