PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertingkat usaha dalam menggandakan keuntungan daripada syarikat milik kerajaan (GLC) sebagai sumber pendapatan bagi mengatasi masalah hutang negara yang tinggi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi berkata, ini meliputi entiti berkepentingan kerajaan seperti petroleum, bank, syarikat komunikasi, penyiaran, automobil, dan perladangan.
Ujarnya, kerajaan juga perlu mengurangkan perbelanjaan pengurusan seperti gaji dan elaun korporat milik kerajaan yang adakalanya melampaui keperluan munasabah pemegang jawatan dalam sektor yang sama di syarikat lain.
“Perbelanjaan berhemat perlu dilakukan dengan tidak membuat apa-apa pembelian keperluan pejabat yang baharu tanpa keperluan, mengurangkan lawatan dan perbelanjaan pegawai yang tidak perlu serta memperbaiki peralatan jabatan yang rosak bagi mengelak pembaziran.
“Sebaliknya, usaha untuk menarik pelaburan asing (FDI) boleh dilakukan dengan menyediakan infrastruktur pelaburan yang kondusif untuk pelabur asing.
“Ini seperti mempercepat proses dan jangka masa kelulusan, tapak dan lokasi pelaburan menarik, serta kemudahan tenaga kerja yang berpendidikan dan terjamin,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan tidak bercadang memperkenalkan sebarang cukai termasuk GST bagi menampung kenaikan hutang negara.
Sebaliknya, kerajaan akan mengetatkan pengurangan subsidi bagi golongan kaya supaya yang miskin tidak terus dibebani.
Fuad berkata, keputusan kerajaan tidak memperkenalkan semula GST adalah dijangka kerana ia bukanlah satu keputusan yang popular memandangkan Pakatan Harapan sendiri menentang sistem percukaian tersebut sejak mula diperkenalkan pada 2014.
“Pengenalan semula cukai tersebut pasti mengundang rasa tidak senang dan meningkatkan keluhan dan mungkin kecaman masyarakat terbanyak.
“Bagaimanapun sistem percukaian sedia ada iaitu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mampu menangani ‘bocoran’ tersebut sekiranya kerajaan mampu memanfaatkan perbelanjaan berhemat bagi mengelak ketirisan melampau dalam perbelanjaan dan pengurusan kerajaan sekiranya ia wujud,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff bersetuju dengan tindakan kerajaan untuk tidak memperkenalkan semula GST kerana cukai tersebut akan menambah beban rakyat.
“Pada masa yang sama, jika kerajaan susah payah kutip hasil GST namun ketirisan, pembaziran dan rasuah masih berlaku, hasil kutipan GST itu akan hilang begitu sahaja tanpa dapat membantu rakyat.
“Kerajaan boleh memperkenalkan subsidi bersasar supaya golongan T20 tidak termasuk dalam golongan yang layak menerimanya. Saya percaya subsidi bersasar boleh dilakukan pada Bajet 2023,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan boleh mengurangkan hutang dengan tidak menambah hutang baharu tetapi menggunakan teknologi yang membolehkan aktiviti ekonomi berjalan lancar walaupun tidak menggunakan tunai. – UTUSAN