PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menganjurkan kempen ‘LUCKY FIVE-BULOUS’, iaitu kempen belanja dan menang untuk pemegang kad Debit-i dan kad Kredit-i yang menawarkan pelbagai ganjaran menarik bernilai lebih RM300,000.
Ketua Pegawai Perniagaan – Runcit Bank Islam, Mizan Masram berkata, kempen tersebut bertujuan menghargai sokongan dan kesetiaan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan Bank Islam selama ini.
“Oleh itu, kami ingin menyediakan ganjaran menarik kepada pelanggan setiap kali mereka berbelanja menggunakan kad Debit-i dan kad Kredit-i Bank Islam. Lebih banyak pembayaran dibuat menggunakan kad-i kami, lebih banyak peluang untuk menang.
“Pembayaran tanpa tunai kini menjadi pilihan dalam kalangan masyarakat kerana transaksi yang mudah, pantas dan selamat.
“Penganjuran kempen ‘LUCKY FIVE-BULOUS’ bertujuan menggalakkan lagi penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai, lantas mempercepatkan penerimaan pembayaran digital dalam urusan jual beli, selain merealisasikan matlamat negara untuk membentuk masyarakat tanpa tunai,” katanya dalam kenyataan.
Bagi menyertai kempen itu, pelanggan hanya perlu berbelanja menggunakan kad Debit-i atau kad Kredit-i mereka.
Tambah Mizan, pelanggan layak mendapat satu kelayakan atas setiap perbelanjaan runcit bernilai RM50 dan dua kelayakan untuk perbelanjaan bernilai RM50 di stesen petrol.
Menurutnya, kempen ‘LUCKY FIVE-BULOUS’ tersebut secara keseluruhan menawarkan lima buah kereta Perodua Ativa sebagai hadiah utama dan 25 peranti Apple iPad Pro untuk hadiah saguhati.
“Pemenang hadiah utama akan dipilih melalui cabutan bertuah yang melayakkan seorang pemenang untuk setiap bulan, manakala bagi hadiah saguhati, seramai lima pemenang akan dipilih berdasarkan jumlah kelayakan tertinggi untuk bulan tersebut,” jelasnya.
Mizan menambah, Bank Islam akan terus menganjurkan pelbagai kempen menarik dan relevan untuk manfaat pelanggan setia. – UTUSAN









