KUALA LUMPUR: Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd. akan mengetengahkan program Allianz Truck Warrior dalam usaha meneroka kerjasama perniagaan dengan beberapa syarikat kenderaan komersial, pembuatan dan pemilik francais.
Ketua Pegawai Jualan Allianz General, Horst Habbig berkata, Allianz Truck Warrior merupakan program bantuan tepi jalan yang pertama diperkenalkan untuk kenderaan barangan di Malaysia.
“Itu merupakan sebahagian daripada rancangan kerana buat masa ini kami sedang menerokai kerjasama perniagaan melibatkan beberapa syarikat kenderaan komersial, pembuatan dan pemilik francais.
“Malah sudah ada kolaborasi perniagaan da sudah pasti perkhidmatan Allianz Truck Warrior akan menjadi salah satu nilai yang kami akan usulkan kepada mereka (yang berminat bekerjasama),” katanya kepada pembeirta selepas majlis pelancaran Allianz Truck Warrior di Sentul di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Habbig berkata, program Allianz Truck Warrior mula diperkenalkan pada 12 Januari lalu di mana ia merupakan manfaat tambahan yang disediakan kepada pemegang polisi Kenderaan Barangan Allianz (komprehensif) yang terbabit dalam kemalangan atau mengalami kerosakan.
Katanya, pemegang polisi boleh menikmati perkhidmatan bantuan tepi jalan sehingga tiga kali setahun, penundaan kenderaan barangan mereka sehingga 100 kilometer (km) dua hala dengan trak tunda Allianz.
“Purata kos menunda sebuah lori apabila ia rosak adalah sekitar RM800 dan kos tersebut meningkat berdasarkan jarak tetapi dengan Allianz Truck Warrior, kami menawarkan penyelesaian yang menyingkirkan tempoh menunggu, tawar-menawar dan rundingan dengan hanya RM120.
“Anda hanya perlu membeli polisi insurans motor kami dan menambah RM120 untuk mendapatkan Allianz Truck Warrior selain tidak perlu menunggu lama untuk sebuah trak tunda,” katanya.
Menurut Habbig, bagi membolehkan pemegang polisi layak mendapat perlindungan Allianz Truck Warrior, kenderaan terbabit harus memenuhi syarat ditetapkan iaitu kenderaan barangan mesti mempunyai permit A dan C dengan Perlindungan Komprehensif, sehingga 7.5 tan Berat Dengan Muatan, dan usia kenderaan tidak melebihi 20 tahun.
“Di Allianz Malaysia, besar atau kecil, kami tunda semuanya. Berdasarkan statistik daripada Laporan Perkhidmatan Insurans Malaysia, terdapat dalam 670,000 kenderaan barangan yang diinsuranskan pada 2021.
“Oleh itu, perkhidmatan tambahan yang kami tawarkan ini adalah sesuatu yang boleh dimanfaatkan pemilik kenderaan barangan, dan ini melengkapkan rangkaian perkhidmatan kami iaitu melindungi kereta, motosikal dan kenderaan barangan,” katanya. – UTUSAN










