‘Ada pengumuman pelaburan besar digital’

‘Ada pengumuman pelaburan besar digital’

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli membayangkan bakal ada pengumuman penting mengenai kemasukan banyak pelabur besar asing dalam bidang pendigitalan.

Langkah berkenaan ujarnya, dijangka memacu pertumbuhan di seluruh negara dan mempercepatkan perkembangan ekonomi digital agar terus menjadi lebih rancak.

“Insya-Allah, sekitar bulan depan, akan ada pengumuman berkaitan pelaburan besar yang berkait isu pendigitalan sejajar tumpuan rangka kerja ekonomi digital negara,” jelasnya pada sesi Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Ekonomi di sini yang turut disiarkan menerusi laman sosial rasmi kementerian itu.

Menerusi ucapannya lebih 10 minit sebelum disusuli soal jawab juga selama 10 minit itu, beliau memberi gambaran me­ngenai fokus Belanjawan 2023 akan dibentang pada Jumaat ini.

Antaranya peralihan iktisad negara sepanjang tahun ini akan mula beralih kepada bidang pendigitalan, pelaburan ekonomi hijau dan tumpuan pembasmian isi rumah miskin tegar.

Mengulas lanjut mengenai usaha pendigitalan, Rafizi berkata, warga kementerian itu perlu proaktif mempercepatkan agenda digariskan di bawah pelan induk MyDigital.

“Justeru, pengumuman pelaburan bidang tersebut bukan sahaja menjadi berita gembira malah perlu disambut sebagai pemangkin bagi memperkasakan ekonomi digital,” katanya.

Menyentuh usaha membanteras kemiskinan tegar, beliau berkata, kerajaan bakal membincangkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pendapatan kelompok berkenaan.

Bahkan, inisiatif murni itu akan dimulakan Ahad ini de­ngan melibatkan semua pihak termasuk swasta dan komuniti, berganding bahu mencari jalan penyelesaian terbaik.

Beliau memberi gambaran dalam masa dua atau tiga ming­gu lagi, kerajaan akan tampil melancarkan program bersepadu bagi golongan itu yang kini berjumlah 126,000 isi rumah.

Pelan yang berbentuk skala kebangsaan itu ujarnya, sejajar dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk mengurangkan kelompok miskin tegar menjelang akhir 2025 kelak.

“Saya optimis jika segala dirancang itu berjalan dengan lancar, tidak mustahil kita mampu kurangkan 100,000 keluarga miskin tegar dalam tempoh 24 bulan akan datang,” katanya.

Ditanya pada sesi soal jawab sebelum majlis itu berakhir Rafizi turut menggariskan hala tuju iktisad negara pada masa depan akan lebih kepada ekonomi hijau lestari mesra alam.

Usaha itu katanya, selaras dengan perancangan global menjelang 2050 apabila ekonomi sejagat beralih sepenuhnya kepada penggunaan teknologi yang rendah atau sifar karbon. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN