Westports catat untung RM700 juta bagi 2022 - Utusan Malaysia

Westports catat untung RM700 juta bagi 2022

Gambar Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan bersih Westports Holdings Berhad (Westports) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 menurun kepada RM699.58 juta berbanding RM808.22 juta yang direkodkan pada 2021.

Syarikat turut melaporkan jumlah pencapaian hasil sebanyak RM2.07 bilion pada 2022, meningkat sedikit berbanding RM2.02 bilion pada tahun sebelumnya.

Westports dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, segemn kontena menyumbang sebanyak 86 peratus kepada jumlah hasil dengan volum jualan sebanyak 10.05 TEU (unit bersamaan 20 kaki).

“Tempoh dalam tinjauan menyaksikan pelbagai cabaran termasuk sebahagiannya menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan apabila tahun lalu berakhir manakala yang lain mungkin menyumbang ke arah peralihan struktur jangka panjang,” katanya.

Bagi tempoh suku keempat berakhir 31 Disember 2022, keuntungan bersih Westports menokok kepada RM235.04 juta daripada RM222.88 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Syarikat membayar dividen interim pertamanya berjumlah RM236 juta pada Ogos 2022, manakala dividen interim kedua sebanyak 7.46 sen sesaham, berjumlah RM254 juta, akan dibayar pada 17 Februari 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata, pihaknya telah melihat beberapa cabaran yang menggemparkan di negara tertentu.

“Di Westports, komitmen kami untuk meningkatkan kesejahteraan golongan berpendapatan rendah dicerminkan oleh syarikat dengan memastikan gaji minimum yang lebih tinggi dilaksanakan lebih awal sebaik sahaja diumumkan kerajaan.

“Pekerja juga mendapat faedah daripada elaun tambahan dan insentif berkaitan produktiviti. Aktiviti CSR syarikat juga tertumpu kepada penambahbaikan keadaan hidup mereka yang kurang berkemampuan di Pulau Indah,” ujarnya.

Beliau menegaskan, walaupun menghadapi cabaran dan keuntungan yang lebih rendah untuk 2022, Westports telah mengisytiharkan komitmen untuk mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN