PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyerahkan Surat Hasrat (LOI) kepada Pengerusi Otorita Ibu Kota Nusantara (IKN) pada Ahad lalu.
LOI itu menyatakan minat TNB untuk meneroka dan mengambil bahagian dalam pembangunan dan operasi penyelesaian tenaga di IKN Nusantara, Indonesia merentasi pelbagai teknologi seperti gas, solar, angin, hidro dan penyimpanan bateri.
TNB juga berminat untuk meneroka sebarang peluang dalam perniagaan kesalinghubungan grid melalui kerjasama dengan PT Perusahaan Listrik Negara (PLN) untuk membangunkan infrastruktur penghantaran voltan tinggi yang selamat dan boleh dipercayai di Global City for All, IKN Nusantara.
Penyerahan LOI itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan dua hari beliau ke Indonesia baru-baru ini.
Pada majlis itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din turut menyerahkan satu lagi LOI kepada Pengarah Perancangan Sistem dan Transmisi PLN, Evy Haryadi untuk mengkaji semula memorandum persefahaman (MoU) sebelum ini bagi meneruskan kerjasama peralihan tenaga yang bertanggungjawab, sejajar dengan komitmen kelestarian kedua-dua syarikat tenaga.
Baharin berkata, LOI itu akan membantu mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama kedua-dua negara serta mempercepatkan pembangunan tenaga bersih di kedua-dua negara.
“Kedua-dua TNB dan PLN akan mendapat manfaat bersama daripada perkongsian kepakaran dan pengalaman ini dalam menghadapi cabaran peralihan tenaga,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Baharin, TNB mencadangkan agar MoU disemak semula bagi membolehkan kedua-dua utiliti menghidupkan kembali kajian penerokaan pembangunan kemudahan kesalinghubungan voltan tinggi di antara Sumatera, Indonesia ke Semenanjung Malaysia.
“Rangkaian di antara Sumatera dan Semenanjung Malaysia adalah sebahagian daripada Grid Tenaga ASEAN.
“Apabila projek ini siap kelak, negara-negara di rantau ASEAN akan dapat berkongsi sumber penjanaan Tenaga Boleh Baharu (TBB), mengambil bahagian dalam perdagangan tenaga pelbagai hala dan menyediakan keselamatan tenaga untuk rantau ini,” katanya.- UTUSAN








