TNB terima pengiktirafan AIGA 2022

TNB terima pengiktirafan AIGA 2022

BAHARIN Din (dua kiri) menerima anugerah AIGA 2022 daripada Fadillah Yusof di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerima pengiktirafan negara apabila muncul antara lima pemenang Emas Tertinggi Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) Kebangsaan 2022 di Kuala Lumpur pada 18 Januari lalu.

Pencapaian itu memahatkan mercu tanda pencapaian TNB dalam komitmennya terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), khususnya tata kelola dan sahsiah diri warga kerja melalui pelaburan meningkatkan integriti organisasi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Baharin Din berkata, anugerah itu sebagai penghargaan kepada pematuhan warga kerja TNB terhadap pelbagai inisiatif memperteguh organisasi termasuk menjadikan integriti sebagai antara enam nilai teras budaya kerja.

“TNB secara berterusan mengambil pelbagai inisiatif dalam memperteguh integriti termasuklah melaksanakan pelbagai program seperti bengkel dan latihan, penambahbaikan sistem kerja dan pentadbiran, tindakan penguatkuasaan dan membangunkan budaya kerja terpuji,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau menerima anugerah anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) itu daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, di Auditorium IIM.

AIGA Kebangsaan itu julung kali diadakan dengan menerima 116 penyertaan sektor awam dan swasta sebagai satu mekanisme mengukur komitmen, usaha serta keberkesanan inisiatif integriti dan tata kelola organisasi.

Sementara itu, Baharin berkata, antara inisiatif integriti TNB ialah memperolehi pensijilan ISO 37001 “Anti Bribery Management System” daripada SIRIM QAS International.

Katanya, TNB juga membangunkan Integrity Health Index (IHI) bagi mengukur tahap integriti secara objektif dan melatih pegawai di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjadi pegawai integriti bertauliah (CeIO).

“TNB juga meningkatkan kerjasama dengan SPRM dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membolehkan kedua-dua organisasi mengadakan pelbagai aktiviti bersama bagi tempoh lima tahun.

“MoU yang ditandatangani tahun lalu itu mengukuhkan lagi kerjasama sedia terjalin dengan merangkumi perkongsian maklumat dan kepakaran, menambah baik sistem dan prosedur TNB, pelaksanaan operasi pengesanan bersama serta program kesedaran dan latihan,” ujarnya.

Menurutnya, usaha-usaha mengukuh integriti itu memperkasakan warga kerja dengan menyerlahkan potensi dan memupuk nilai-nilai serta budaya dalam mendukung tadbir urus yang mengamalkan perniagaan beretika dengan semangat penuh bertanggungjawab.

“Ia berpaksikan akauntabiliti, ketelusan dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, sekali gus menyokong agenda ke-16 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN