Serah laporan tahunan 2022, saham Serba Dinamik melonjak

Serah laporan tahunan 2022, saham Serba Dinamik melonjak 150%

SERBA DINAMIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Serba Dinamik Holdings Bhd, mengumumkan laporan tahunannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 kepada Bursa Malaysia kelmarin, selepas tertangguh sejak 31 Oktober tahun lalu.

Rentetan itu syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas tersebut memaklumkan dagangan saham Serba Dinamik telah disambung semula berkuat kuasa pukul 9 pagi semalam.

Harga saham Serba Dinamik semalam melonjak setinggi 150 peratus kepada 2.5 sen pada sebelah pagi setelah dagangannya disambung semula selepas digantung selama tiga minggu.

Bagaimanapun dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, Serba Dinamik turut memaklumkan pengantungan dagangan Serba Dinamik yang akan berkuat kuasa bermula 9 pagi, 18 Januari 2023, ekoran Perintah Penggulungan terhadap syarikat itu.

Ia ekoran keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan petisyen yang difailkan oleh enam institusi kewangan untuk menggulung syarikat itu dan tiga anak syarikatnya pada 10 Januari lalu.

Menurut laporan media, enam institusi kewangan terbabit ialah Standard Chartered Saadiq Berhad, HSBC Amanah Malaysia Bhd, AmBank Islamic Bhd., MIDF Amanah Investment Bank Bhd., United Overseas Bank (Malaysia) Bhd. dan Bank Islam Malaysia Bhd. selaku pempetisyen.

Serba Dinamik dan tiga lagi anak syarikatnya itu dikatakan mempunyai hutang berjumlah hampir RM5 bilion.

Dagangan Saham Serba Dinamik sebelum ini, digantung pada 23 Disember tahun lalu selepas syarikat berkenaan gagal menyerahkan laporan tahunan 2022 mengikut tarikh yang ditetapkan Bursa Malaysia.

Bursa Malaysia pada 1 November 2022 memberi lanjutan masa sehingga 15 Disember 2022 kepada Serba Dinamik untuk menyerahkan laporan tahunan itu.

Namun, pada 19 Disember, Kumpulan yang mengalami masalah kewangan itu berkata, sekiranya ia tidak dapat menyerahkan laporan tahunan 2022 pada atau sebelum 22 Disember 2022, dagangan sekuriti syarikat itu akan digantung bermula 9 pagi pada 23 Disember 2022, sehingga diberitahu kelak.

Sementara itu, Pengerusi Serba Dinamik, Datuk Abdul Kadier Sahib dalam laporan tahunan 2022 berkata, Kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada kesihatan kewangannya dan terus mengubah model perniagaan untuk memenuhi perubahan global dalam industri tenaga.

“Memandangkan tenaga baharu perlahan-lahan menggantikan bahan api fosil, kami perlu bersedia untuk menawarkan perkhidmatan sejajar dengan peralihan tenaga yang tidak dapat dielakkan ini.

“Kami juga akan memastikan bahawa kami terus menarik, melatih dan mengekalkan pekerja dalam industri yang kompetitif ini. Serba Dinamik memahami bahawa kekuatan organisasi sebahagian besarnya ditentukan oleh kualiti bakatnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN