
Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada setiap penghujung Mei dan November, kebiasaannya pada Jumaat terakhir bulan-bulan tersebut, akan mengumumkan senarai sekuriti patuh syariah yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
Berdasarkan senarai terbaru yang diumumkan pada 25 November 2022, terdapat sebanyak 787 sekuriti patuh syariah, merangkumi 81 peratus daripada jumlah keseluruhan sekuriti tersenarai.
Modal pasaran (market capitalisation) sekuriti patuh syariah ini dianggarkan sebanyak RM1 trilion. Dalam senarai ini, terdapat 57 sekuriti baharu yang telah diklasifikasi patuh syariah dan salah satunya adalah Malaysian Building Society Berhad (MBSB).
MBSB telah menjadi syarikat kelima di bawah kategori perkhidmatan kewangan memperolehi status patuh syariah dan institusi perbankan Islam kedua yang mencapai status ini selepas Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). Ia merupakan satu perkembangan yang sangat penting bagi industri kewangan Islam kerana daripada 33 buah syarikat perkhidmatan kewangan yang tersenarai, kurang daripada 20 peratus adalah patuh syariah.
Modal pasaran keseluruhan bagi kelima-lima syarikat perkhidmatan kewangan patuh syariah ini, iaitu BIMB, MBSB, Bursa Malaysia Berhad, RCE Capital Berhad dan Syarikat Takaful Malaysia Berhad, adalah kurang daripada RM20 bilion. Jumlah ini jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan syarikat perkhidmatan kewangan konvensional seperti Malayan Banking Berhad atau Public Bank Berhad, yang masing-masing mempunyai modal pasaran antara RM80 bilion hingga RM100 bilion.
Hakikatnya, walaupun industri kewangan Islam Malaysia antara yang terkehadapan di peringkat antarabangsa, namun peluang untuk melabur di dalam syarikat-syarikat perkhidmatan kewangan patuh syariah masih terhad. Secara amnya, syarikat-syarikat berteraskan perkhidmatan kewangan berupaya memberi peluang pelaburan yang baik.
Jika diperhatikan, dana-dana pelaburan yang melabur di dalam sektor perkhidmatan kewangan, kebiasaannya dapat memberikan dividen yang lebih berdaya saing. Sebagai contoh, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sejak 2016, memberi pilihan kepada ahli-ahlinya memilih antara Simpanan Konvensional atau Simpanan Shariah.
Namun sejak diperkenalkan 6 tahun lalu, dividen yang diumumkan bagi Simpanan Shariah, masih tidak setanding dengan Simpanan Konvensional. Perbezaan kadar dividen Simpanan Shariah setiap tahun, adalah di antara 0.25 peratus sehingga 0.45 peratus lebih rendah daripada Simpanan Konvensional. Antara penyebabnya adalah kerana Simpanan Konvensional mempunyai lebih pilihan untuk melabur di dalam syarikat-syarikat perkhidmatan kewangan, sama ada patuh atau tidak patuh syariah, berbanding Simpanan Shariah.
Oleh itu, menjadi satu amanah bagi pemegang-pemegang taruh yang berkenaan untuk mengambil langkah sewajarnya bagi meningkatkan jumlah syarikat-syarikat perkhidmatan kewangan patuh syariah di Bursa Malaysia.
Dalam usaha ini, cadangan-cadangan baharu atau saranan yang pernah diutarakan sebelum ini, seperti mewujudkan kategori ‘Saham-i’ di Bursa Malaysia khusus untuk syarikat-syarikat perbankan Islam, perlu dipertimbangkan dan jika berdaya maju, harus dilaksanakan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM. – UTUSAN










